Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 9 Oktober. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan AmiproSimpor Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan hasil penyelidikan.
Majlis menandatangani MoU berkenaan berlangsung di Inspiring Hub, Office of Industry Engagement and Enterprise Development (IEED), UBD.
MoU tersebut menggabungkan kepakaran penyelidikan, keupayaan inovasi dan bakat akademik UBD dengan pengalaman industri, pengetahuan operasi serta jaringan perniagaan AmiproSimpor Sdn. Bhd., sekali gus membuka ruang kepada hubungan yang lebih erat antara institusi akademik dengan sektor industri.
Kedua-dua pihak akan meneroka peluang melaksanakan penyelidikan bersama, perkhidmatan perundingan dan inisiatif inovasi dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama, dengan tumpuan kepada penyelesaian cabaran sebenar serta pembangunan teknologi yang bersesuaian dengan keperluan industri.
Kerjasama berkenaan turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh laluan daripada penyelidikan kepada aplikasi praktikal, termasuk pemindahan teknologi, pembangunan harta intelek, pengesahan prototaip dan pengkomersialan hasil penyelidikan.
Kedua- dua pihak juga akan meneroka peluang mendapatkan pembiayaan yang bersesuaian serta melaksanakan inisiatif strategik bagi membantu inovasiyang berpotensi dikembangkan ke arah kesediaan pasaran.
Selain itu, MoU berkenaan membuka peluang bagi pelaksanaan latihan, program penempatan industri, latihan amali, penempatan graduan dan pertukaran kakitangan bagi meningkatkan pendedahan kepada amalan profesional serta persekitaran kerja industri.
Inisiatif tersebut dihasratkan dapat memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan, memperluas kerjasama antara industri dengan institusi akademik serta menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi negara dan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle, bagi pihak UBD manakala AmiproSimpor Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dr. Ashraf Ali Mohamed Kassim.
Penandatanganan tersebut disaksikan oleh Penolong Naib Canselor IEED, UBD, Dr. Haji Masairol bin Haji Masri, dan Pengarah di AmiproSimpor Sdn. Bhd, Pengiran Adanan bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail.