Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Hasil pemantauan dan penelitian yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mendapati terdapat kecenderungan segelintir individu atau kumpulan menggunakan pendekatan pengisian kerohanian, pengajian agama, media sosial serta pelbagai platform dalam talian bagi membina jaringan dan mempengaruhi masyarakat.
Pendekatan tersebut lazimnya dilaksanakan secara berperingkat melalui hubungan peribadi, pengajian tertutup, program keagamaan, pembangunan belia serta usaha mendapatkan penerimaan daripada individu atau institusi tertentu sebelum memperluaskan pengaruh kepada masyarakat umum.
Sehubungan itu, KHEU melalui JHES ingin menasihatkan orang ramai terutama masyarakat Islam agar sentiasa berhati-hati sebelum menyertai atau mengikuti mana-mana program keagamaan atau kerohanian, lebih-lebih lagi dengan akses yang semakin meluas kepada pelbagai ceramah, kelas bimbingan dan program keagamaan sama ada secara bersemuka mahupun dalam talian (online).
Orang ramai disarankan supaya meneliti terlebih dahulu latar belakang penceramah, kandungan ceramah, kelas bimbingan serta program keagamaan atau kerohanian yang ditawarkan.
Di samping itu, orang ramai juga hendaklah memastikan bahawa program berkenaan telah mendapat kebenaran daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, turut ditegaskan supaya berwaspada terhadap mana-mana program keagamaan atau kerohanian yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut iaitu dikendalikan tanpa kebenaran MUIB dan menggunakan nama, imej atau hubungan dengan tokoh agama atau institusi tertentu bagi memberikan gambaran seolah-olah telah mendapat pengiktirafan rasmi.
Seterusnya, menyampaikan fahaman, tafsiran atau amalan yang bercanggah dengan Hukum Syarak serta pegangan Ahli Sunnah Waljamaah dan menyalahgunakan pendekatan kerohanian, tasawuf atau ‘tazkiyatun’ nafs bagi membentuk kelompok eksklusif serta membina pengaruh atau menyebarkan fahaman yang bercanggah dengan hukum syarak dan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.
Selain itu, menggalakkan ketaksuban yang melampau terhadap guru atau individu tertentu atau mengutip bayaran atau sumbangan bagi tujuan yang tidak jelas, tidak telus atau mencurigakan.
Orang ramai juga diingatkan bahawa mana-mana individu yang mengajar atau menyampaikan apa-apa perkara berkaitan agama Islam di Negara Brunei Darussalam hendaklah terlebih dahulu memperoleh kebenaran bertulis daripada MUIB, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Kegagalan mematuhi peruntukan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Bab 229, Kanun Hukuman Jenayah Syariah, Penggal 275 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi BND8,000, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, mana-mana individu yang mengajar, menyampaikan atau menyebarkan ajaran, atau melaksanakan upacara atau amalan yang bercanggah dengan hukum syarak juga boleh dikenakan tindakan di bawah bab 207, Kanun Hukuman Jenayah Syariah, Penggal 275.
KHEU juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan program keagamaan atau kerohanian yang tidak diketahui latar belakang penganjurnya, mendapatkan ilmu agama daripada guru atau institusi yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
Di kesempatan ini, KHEU ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat berhubung perkara tersebut.
Bagi orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat mengenai sebarang aktiviti keagamaan atau kerohanian yang mencurigakan bolehlah menghubungi Unit Kawalan Akidah dan Penyelidikan, Bahagian Penguatkuasaan Ugama, JHES melalui talian +673 8330080.