BELIA merupakan aset paling bernilai dalam sesebuah negara. Mereka bukan sahaja pewaris kepimpinan pada masa hadapan, malah menjadi tenaga penggerak kepada kemajuan ekonomi, sosial dan pembangunan negara.
Pada era globalisasi dan revolusi digital yang berkembang pesat, golongan belia berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti persaingan dalam pasaran pekerjaan, perubahan teknologi, serta pengaruh media sosial yang semakin meluas. Cabaran ini menuntut belia untuk sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan, menguasai kemahiran baharu dan memiliki daya tahan yang tinggi. Belia yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia akan lebih bersedia menghadapi perubahan serta mampu menjadi pemimpin yang berintegriti pada masa hadapan.
Oleh itu, usaha memperkasa belia perlu menjadi keutamaan agar mereka mampu menyumbang secara aktif dalam membina sebuah negara yang maju, berdaya saing dan sejahtera.
Dalam usaha memperkasa belia, pendidikan adalah asas yang sangat mustahak. Selain kecemerlangan dalam bidang pendidikan, para belia dapat belajar kemahiran seperti kepimpinan, komunikasi, kreativiti dan semangat kerja berpasukan. Mahir dalam teknologi digital, Kecerdasan Buatan (AI) dan keusahawanan turut menjadi keperluan agar belia dapat menyesuaikan diri dengan tuntutan dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.
Pendidikan juga membentuk sahsiah dan jati diri belia. Melalui proses pembelajaran, mereka dididik untuk mengamalkan nilai integriti, disiplin, tanggungjawab, hormat-menghormati. Pembentukan akhlak yang baik akan melahirkan belia yang beretika, berwibawa dan mampu menjadi pemimpin yang dipercayai pada masa hadapan.
Di samping itu, pendidikan memberi peluang kepada belia untuk meningkatkan taraf hidup melalui pekerjaan yang lebih baik dan keusahawanan. Dalam pada itu, para belia akan menjadi lebih peka terhadap isu masyarakat, alam sekitar dan pembangunan negara serta terdorong untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan khidmat masyarakat. Kesedaran ini melahirkan generasi yang bukan sahaja berjaya dalam kerjaya, tetapi juga berperanan sebagai belia yang bertanggungjawab.
Sambutan Hari Belia Kebangsaan yang diraikan pada setiap 1 Ogos. Oleh itu, para belia diseru untuk terus bersemangat, berani melangkah, memperkasa potensi diri dan tampil sebagai generasi pelapis yang berdaya tahan, berwibawa serta bersedia memikul amanah kepimpinan sekali gus menyumbang idea, tenaga dan kepakaran dalam menjayakan pembangunan negara serta merealisasikan Wawasan Brunei 2035. - Ketua Penyuntingan (Kr)