PADA kali ini, Sidang Pengarang ingin menyentuh mengenai Tahun Melawat Brunei 2027 (Visit Brunei Year 2027 - VBY2027) yang juga telah mendapat perhatian semasa Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN di sini. Dalam sidang ini telah memfokuskan pelancongan bernilai tinggi dengan menarik pelawat yang mempunyai kecenderungan untuk tinggal lebih lama di negara ini, berbelanja lebih tinggi serta menikmati pengalaman yang unik dan berkualiti di negara ini. Justeru beberapa pendekatan utama sedang dilaksanakan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke negara ini seperti penyertaan aktif dalam ekspo dan jerayawara, memperkasakan inisiatif promosi antarabangsa, kerjasama dengan agensi-agensi antarabangsa seperti CNN, Euro News, Al-Jazeera dan lain-lain lagi media promosi di samping pelaksanaan enam kempen digital bersama online travel agents seperti Skyscanner, Room2Rio, Trip.com, Klook, Agoda dan Ctrip.
Selain itu, banyak lagi usaha yang dirancang untuk menarik pelancong ke negara ini. VBY2027 ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meraih pendapatan malah VBY2027 ini dijangka akan meningkatkan lagi permintaan terhadap sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan, aktiviti pelancongan serta berpeluang mengenalkan produk tempatan.
Di sebalik usaha-usaha yang giat dilaksanakan, peranan kita selaku rakyat dan penduduk di negara ini juga perlu untuk menyokong VBY2027 dengan menjaga kebersihan negara agar pelancong mendapat gambaran tentang negara kita yang bersih dan menarik untuk meyakinkan mereka melancong ke negara ini sekali gus dapat mengangkat identiti negara kita.
Dengan bersikap baik, bersopan santun dan hormat kepada pengunjung luar akan memberikan gambaran yang baik bagaimana sikap kita sebagai orang-orang Brunei yang berhemah dan beretika terhadap orang luar sehingga mereka berasa dialu-alukan ke negara ini.
Kita perlu memahami bahawa kebanyakan orang akan menilai kita dari tingkah laku justeru marilah kita perbaiki sikap kita, tunjukkan kepada pengunjung luar bahawa kita orang-orang Brunei penuh dengan sopan santun dan beradat berbudaya.
Akhirnya, kita perlu bersama-sama memainkan peranan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini dan berusaha menjadikan VBY2027 sebagai satu pengalaman yang tidak terlupakan bagi pelancong yang datang ke negara ini. - Ketua Penyuntingan (Ri)