Tibanya bulan yang dirindui

12 Og 2026 - 1:33pm

TIDAK lama lagi kita akan melangkah ke bulan Rabiulawal. Bulan yang kelahiran Junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dalam bulan Rabiulawal adalah satu amalan mulia untuk melahirkan rasa cinta kepada Baginda sempena bulan kelahiran junjungan besar, di samping merebut ganjaran pahala serta syafaat di akhirat kelak.

Kenapa kita digalakkan memperbanyakkan di bulan Rabiulawal ini kerana menunjukkan tanda kasih melahirkan cinta sejati kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Mengharapkan mendapat syafaat supaya urusan kita sehari dipenuhi syafaat Baginda di akhirat. Setiap selawat kita lafazkan mendapat gandaan pahala akan sampai kepada Baginda dan dikurniakan kebaikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Selain daripada berselawat kita digalakkan untuk menghidupkan sunnah Baginda, dengan mendengarkan atau membaca sirah, dan memperbanyakkan sedekah atau amalan soleh yang lain.

Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam kita menghidupkan 12 malam pertama di bulan Rabiulawal dengan mengadakan majlis berdikir, memuji dan membesarkan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara juga tidak melepaskan peluang mempelawa orang ramai untuk bersedakah. Dan ada juga dalam kalangan keluarga secara persendirian mengadakan dikir-dikir dan selawat-selawat dalam sama mengeratkan hubungan silaturahim kekeluargaan.

Tahun ini bulan Rabiulawal tiba tepat semasa cuti persekolahan. Lebih banyak peluang yang dapat dimanfaatkan untuk menghidupkan bulan Rabiulawal. Sidang Pengarang buat keluaran kali ini ingin sama-sama membawa para pembaca untuk menghayati sirah atau perjalanan Nabi Muhammad yang perlu kita teladani dan hayati bersama. Allahumma Solli Ala Sayyidina Muhammad Wa 'Ala Ali Sayyidina Muhammad. - Ketua Penyuntingan (Fa)