Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
BERAKAS, Jumaat, 21 Ogos. - Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) yang menyertai Sukan Malaysia XXII (SUKMA) di Selangor, Malaysia, kembali ke tanah air dengan membawa pulang tiga pingat gangsa menerusi Acara Pencak Silat.
Ketibaan Pasukan Pencak Silat negara di Ruang Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, baru-baru ini disambut oleh Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan.
Sebagai tanda penghargaan atas pencapaian yang diraih, Dayang Hajah Umi Kalthum turut mengalungkan sesandang serta menyampaikan ucapan tahniah kepada para atlet dan seterusnya memberikan sedikit kata-kata penghargaan kepada kontinjen bahawa pertandingan yang disertai itu sebagai permulaan dan jadikan satu pembelajaran untuk terus memperbaiki prestasi ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.
Pingat gangsa pertama Acara Pencak Silat disumbangkan oleh Pasukan Regu Wanita yang dianggotai Dayang Nursyahindah binti Saiful Rizal, Dayang Nursyahirah Mawaddah binti Lutfi dan Dayang Nursyakirah Mawaddah binti Mohd. Fauzi, selepas mencatat kutipan 9.865 mata.
Sementara dua lagi pingat gangsa hadir menerusi Acara Tanding, masing-masing disumbangkan oleh Dayang Nur Asyifa Shabeqah binti Masli dalam Kelas ‘B’ (50–55 kilogram) dan Awang Mohammad Matin Adrian bin Awang Roy dalam Kelas ‘G’ (75–80 kilogram).
Pelita Brunei sempat menemu bual Jurulatih Pasukan Pencak Silat, Abbas Akbar, pencapaian tersebut amat bermakna memandangkan sebahagian besar atlet yang dibawa ke SUKMA XXII merupakan pendatang baharu dalam kejohanan berprestij berkenaan.
Menurut Abbas Akbar, penyertaan di SUKMA XXII sebagai pengalaman penting untuk menilai tahap sebenar atlet negara, selain mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.
Jelasnya, antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah kurangnya pengalaman bertanding di pentas luar negara sehingga menyebabkan sebahagian atlet masih berdepan dengan rasa gementar dan kurang keyakinan ketika beraksi.
“Selepas ini, kita akan membuat penilaian dan memperbaiki beberapa kelemahan, terutama dari segi keyakinan. Kebanyakan atlet masih baharu dan kurang pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak peluang pertandingan dan kejohanan persahabatan dapat diberikan kepada atlet, bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara bagi meningkatkan pengalaman serta membina keyakinan mereka.
“Kita memerlukan lebih banyak kejohanan dan pertandingan di luar negara supaya atlet terbiasa dengan suasana pertandingan antarabangsa dan tidak lagi mudah gementar apabila beraksi di pentas yang lebih besar,” tambahnya.
Dalam pada itu, aspek teknik turut diberikan perhatian, khususnya teknik jatuhan seperti guntingan dan bantingan yang menurut Abbas Akbar perlu dikuasai secara mantap oleh setiap atlet.
“Teknik akan terus diperbaiki. Atlet perlu mempunyai dan menguasai teknik-teknik jatuhan seperti guntingan dan bantingan. Bukan sekadar tahu melakukannya ketika latihan, tetapi mampu menggunakan teknik tersebut dengan berkesan ketika pertandingan,” jelasnya.
Beliau optimis dengan potensi atlet negara yang rata-ratanya masih muda, termasuk dalam lingkungan usia 17 tahun, dan yakin mereka mampu terus berkembang sekiranya diberikan latihan, pendedahan serta pengalaman pertandingan yang mencukupi.
“InsyaaAllah, dengan usia mereka yang masih muda, saya percaya mereka masih boleh diasah dan ditingkatkan lagi, sama ada dari segi teknik mahupun kecergasan fizikal,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, pencapaian di SUKMA XXII merupakan gambaran awal terhadap potensi pasukan pencak silat negara dan diharap menjadi batu loncatan untuk melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Setakat hari ini, kontinjen NBD telah mengumpulkan keseluruhan satu pingat perak dan enam pingat gangsa pada temasya SUKMA XXII. Diharapkan akan lebih banyak lagi kejayaan daripada skuad negara kita untuk mempamerkan prestasi yang membanggakan dalam misi memburu pingat pada perlawanan kali ini.