Ketengahkan bakat pemain NBD menerusi sukan Pickleball

24 Og 2026 - 5:08am

Siaran Akhbar dan Foto : Paddle Pals Brunei

MIRI, SARAWAK, Ahad, 23 Ogos. –  Perlawanan Mini Pickleball anjuran Paddle Pals Brunei yang julung kalinya diungkayahkan oleh kelab dari Negara Brunei Darussalam (NBD) di negara jiran Miri, Sarawak, menyaksikan penyertaan daripada para pemain NBD dan Miri yang telah dibawakan khas oleh Kelab Paddle Pals Brunei dalam memeriahkan lagi suasana kehangatan sukan Pickleball yang semakin meningkat naik di kedua-dua buah negara.

Pertandingan yang diadakan pada baru-baru ini telah mempertandingkan sebanyak dua kategori, iaitu Kategori Terbuka Beregu Lelaki dan Kategori Terbuka Beregu Perempuan.

Pertandingan Mini Pickleball berkenaan dianjurkan bagi sama-sama menyokong dan merapatkan lagi hubungan persahabatan melalui sukan. Selain itu, ia juga selaras dengan slogan 'Borneo Bersatu, Pickleball Menyatu'.

Pertandingan berkenaan telah berlangsung di salah satu dewan utama Pickleball, iaitu di Paragon Pickleball Centre, Lutong, Miri.

Seramai 46 pemain ikut serta daripada kumpulan campuran pemain NBD dan Miri dalam kunjungan singkat tetapi bermakna sambil mengambil pengalaman baharu dan melihat corak permainan dari negeri jiran.

Objektif utama pertandingan Mini Pickleball berkenaan adalah untuk mendedahkan para pemain dari NBD dan bagi mengeratkan silaturahim serta merapatkan lagi hubungan negeri jiran melalui sukan Pickleball sekali gus melihat corak permainan daripada kedua-dua buah negara.

Pertandingan Mini Pickleball berkenaan telah diungkayahkan oleh pengasas Kelab Paddle Pals Brunei, iaitu Dayang Nurzatul Izuana Zaini dan Awang Md. Aisamuddin Haji Jefri.