Beberapa takungan air di England berisiko kering kontang akibat kemarau

26 Okt 2026 - 9:34am

MOSCOW, 26 Okt. - Beberapa takungan air di England berisiko kering sepenuhnya akibat kemarau berpanjangan, sekali gus mengancam bekalan air kepada isi rumah, menurut laporan akhbar The Times, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Oktober, beberapa kawasan di selatan England diisytiharkan mengalami tahap kemarau paling serius susulan gelombang haba yang mencatatkan suhu tertinggi pada musim panas lalu.

Cuaca kering pada mulanya melanda bahagian tengah, selatan dan timur England sepanjang musim panas sebelum merebak ke utara pada Oktober.

Syarikat pembekal air South East Water memaklumkan bahawa United Kingdom (UK) mungkin terpaksa mengimport air dari Norway sekiranya kemarau berterusan.

Menurut The Times, beberapa menteri telah diberi amaran secara tertutup bahawa sebahagian takungan air di England berisiko kering sepenuhnya, yang boleh menjejaskan bekalan air domestik menjelang Krismas.

Akhbar itu melaporkan bahawa jawatankuasa kecemasan kerajaan mengadakan mesyuarat sehingga dua kali seminggu bagi membincangkan keadaan di barat daya England dan Sussex.

Paras air di beberapa takungan juga dilaporkan berisiko menyusut sehingga kosong dalam tempoh beberapa minggu.

Para pegawai memberi amaran bahawa kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan boleh menyebabkan gangguan bekalan air ke sesetengah kediaman, kerja pembinaan loji tenaga nuklear serta operasi penjara.

Menurut Agensi Alam Sekitar UK, sebanyak 82 peratus kawasan di England sedang berdepan keadaan kemarau, manakala sesetengah kawasan memerlukan jumlah taburan hujan bersamaan 120 peratus daripada paras biasa dalam tempoh enam bulan akan datang untuk pulih daripada kemarau.

Pada akhir Jun, suhu di tenggara England mencecah 37.3 darjah Celsius, sekali gus mencatat rekod suhu tertinggi bagi bulan berkenaan, manakala suhu 38.1 darjah Celsius direkodkan pada Ogos.

Pada Ogos, Kesatuan Peladang Kebangsaan UK mengisytiharkan krisis dalam sektor pertanian dan memberi amaran mengenai ancaman terhadap keselamatan makanan susulan kemarau terburuk dalam tempoh 50 tahun. - ©BERNAMA