PARIS, 15 Julai. - Enam individu ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan khianat dengan api susulan kebakaran besar yang melanda Hutan Fontainebleau di selatan Paris, lapor Agensi Akhbar Jerman (DPA).
Dua lelaki, termasuk seorang anggota sukarelawan mengaku terbabit dalam kejadian yang mencetuskan kebakaran itu, menurut pejabat pendakwa raya seperti dilaporkan media Republik Perancis pada Selasa.
Anggota sukarelawan itu mengaku membakar timbunan ranting dan semak menggunakan pemetik api serta petrol, namun motif sebenar masih belum diketahui.
Seorang lagi lelaki dilaporkan secara tidak sengaja menyebabkan kebakaran selepas membuang puntung rokok.
Kira-kira 850 anggota bomba dan empat pesawat masih bertungkus-lumus memadam kebakaran di kawasan hutan itu, kira-kira 60 kilometer di selatan Paris.
Kebakaran setakat ini menjejaskan kawasan seluas kira-kira 2,250 hektar.
Kawasan itu turut menempatkan Château de Fontainebleau, Tapak Warisan Dunia UNESCO dan antara kediaman diraja terpenting di Republik Perancis.
Kebakaran tercetus di tepi sebuah lebuh raya pada lewat petang Ahad.
Kira-kira 800 penduduk tempatan telah dipindahkan dan tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Presiden Republik Perancis Emmanuel Macron merakamkan penghargaan kepada anggota bomba dan petugas penyelamat yang terus bertungkus-lumus memadam kebakaran. - ©BERNAMA