JAKARTA, 15 Julai. - Indonesia sedang meneliti pembangunan bandar satelit di beberapa wilayah bagi menangani isu kekurangan perumahan yang masih belum dapat diselesaikan, kata Menteri Hal Ehwal Agraria dan Perancangan Ruang Nusron Wahid pada Selasa, lapor Xinhua.
Nusron berkata program bandar satelit itu merupakan sebahagian daripada rancangan Presiden Prabowo Subianto untuk mewujudkan pusat pertumbuhan bandar baharu di samping pembangunan perumahan bertingkat.
"Bagi mengatasi kekurangan perumahan, presiden akan membangunkan pusat bandar baharu. Selain perumahan bertingkat, kawasan perumahan bandar satelit yang baharu juga akan diwujudkan," katanya di Jakarta.
Menurut beliau, kementerian itu mengenal pasti lebih 129,000 hektar tanah berpotensi di seluruh negara, meliputi Sumatera Utara, Sumatera Selatan, Lampung, Banten, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Kalimantan Barat dan Sulawesi Selatan.
Beliau berkata tiga lagi wilayah iaitu Kalimantan Timur, Kalimantan Selatan dan Nusa Tenggara Barat turut mengemukakan cadangan yang kini masih dalam proses pengesahan.
Nusron berkata setiap bandar satelit memerlukan sekurang-kurangnya 200 hektar tanah secara purata. Beliau menambah bahawa tanah yang dikenal pasti itu merupakan tanah milik kerajaan, termasuk tanah yang sebelum ini mempunyai hak guna milik swasta tetapi tidak diperbaharui dan akan disusun semula oleh kerajaan.
Kerajaan akan memberi keutamaan kepada pembangunan perumahan bertingkat di kawasan bandar manakala kawasan tanah yang lebih luas telah disediakan bagi pembangunan bandar satelit, khususnya untuk menyokong peluasan sektor perumahan,katanya. - ©BERNAMA