KUALA PERLIS, 16 Julai. - Lima tahun lepas, sebahagian besar komuniti Kampung Seberang Ramai di sini bergantung pada hasil laut untuk menyara kehidupan, namun hari ini transformasi perkampungan nelayan itu kepada destinasi pelancongan komuniti membuka lembaran baharu ekonomi menerusi sumber pendapatan yang lebih pelbagai.
Daripada perkhidmatan motosikal choley dan jualan kuih tradisional hinggalah makanan ringan serta laman hiasan yang diusahakan penduduk, perubahan yang bermula pada 2020 itu membolehkan komuniti setempat menjana pendapatan tanpa bergantung sepenuhnya pada hasil tangkapan laut.
Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Kampung Tengah Seberang Ramai, Nor Erwan Abd Rashid, 44, berkata transformasi melibatkan tujuh kampung itu memberi nafas baharu kepada ekonomi penduduk, terutama mereka yang sebelum ini bergantung pada hasil laut dan perniagaan bermusim.
"Dulu, kira-kira 40 hingga 50 peratus penduduk di sini bergantung pada hasil laut. Namun sejak kawasan ini berubah menjadi kampung pelancongan, kita dapat lihat perubahan apabila kehadiran pelancong turut menjadi sumber pendapatan kepada penduduk," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program Surreal Experience in the North Kedah & Perlis anjuran Tourism Malaysia Wilayah Utara, baru-baru ini.
Beliau berkata peningkatan kehadiran pelancong turut memberi manfaat kepada peniaga kecil, terutama yang menjual makanan tradisional Perlis seperti laksa Perlis, kuih spera, pulut udang, putu beras, bepang, kuih putu kacang, dodol dan halwa maskat.
Kampung Warna-Warni Seberang Ramai merangkumi tujuh kampung iaitu Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tandiap, Kampung Seberang Alor, Kampung Baru Seberang, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Pulau Ketam, dengan jumlah penduduk kira-kira 3,000 orang.
Katanya, Program Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai merupakan cetusan ilham Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan sokongan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis serta Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, selain kerjasama pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat setempat.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan itu perlu disusuli dengan komitmen berterusan penduduk dalam memastikan kebersihan, penyelenggaraan dan keceriaan kampung terus dipelihara.
“Ada lorong yang diserahkan kepada penduduk untuk dijaga supaya kekal cantik, manakala beberapa kawasan menyediakan tabung sumbangan bagi membiayai penyelenggaraan laman masing-masing.
“Dulu, kawasan ini juga berdepan isu sampah, tetapi sekarang penduduk lebih prihatin menjaga kebersihan. Kita harap kawasan ini terus ceria, bersih dan kekal menjadi tumpuan,” katanya.
Perubahan itu turut membuka peluang kepada anak tempatan menjana pendapatan tambahan, termasuk pemandu choley Muhammad Andhar Hakim Abdul Rahman, 26, yang kini membahagikan masanya antara membantu nelayan pada waktu pagi dan membawa pelancong mengelilingi kampung pada sebelah petang.
“Kerja ini banyak membantu menambah pendapatan selain memberi peluang memperkenalkan kampung sendiri kepada orang luar,” katanya.
Limpahan ekonomi hasil sektor pelancongan turut dirasai peniaga kecil Saodah Yunus, 76, dari Kampung Tandiap yang sudah lebih 30 tahun mencari rezeki di jeti berhampiran.
“Kedatangan pelancong bantu menambah pendapatan harian saya daripada jualan buah-buahan, kerepek dan ikan masin kepada pengunjung. Kampung ini sudah cantik, ramai yang sokong dan ramai yang beli. Kalau boleh, saya mahu kampung ini jadi lebih cantik, lebih aktif dan lebih berjaya,” katanya. - ©BERNAMA