Krisis iklim ancam kanak-kanak, NGO lancar inisiatif amaran awal

15 Jul 2026 - 11:07am

PHNOM PENH, 15 Julai. - Panas melampau dan bencana berkaitan iklim meningkatkan risiko terhadap kanak-kanak di seluruh Asia Tenggara justeru mendorong Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Save the Children melancarkan inisiatif serantau berjumlah €4.5 juta (RM25 juta).

Dilancarkan pada Rabu dengan pembiayaan daripada Kesatuan Eropah, program itu akan membantu komuniti, sekolah dan pihak berkuasa tempatan di Thailand, Kemboja, Republik Demokratik Rakyat Lao dan Republik Sosialis Viet Nam mengukuhkan sistem amaran awal untuk melindungi kanak-kanak dan keluarga daripada kecemasan berkaitan iklim.

"Kanak-kanak yang dilahirkan hari ini berisiko mengalami iklim ekstrem pada tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini dan boleh menghadapi gelombang haba hampir tujuh kali ganda berbanding datuk dan nenek mereka, walaupun mereka penyumbang paling sedikit kepada pelepasan (karbon) global," kata Pengarah Serantau Save the Children Asia, Arshad Malik kepada Bernama.

Kesusahan berkaitan haba dalam kalangan kanak-kanak telah mencapai tahap yang membimbangkan.

Pada April 2024 sahaja, gelombang haba dikenal pasti sebagai punca utama gangguan ke atas pendidikan untuk 118 juta kanak-kanak di seluruh Asia Selatan dan Tenggara, termasuk Kemboja, Thailand dan Republik Filipina, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Save the Children memberi amaran bahawa El Niño, digabungkan dengan perubahan iklim jangka panjang, boleh meningkatkan gelombang haba, kemarau dan banjir di seluruh Asia Tenggara.

"Apabila cuaca panas melampau memaksa sekolah ditutup, kanak-kanak kehilangan hari pembelajaran yang penting. Apabila perubahan iklim mendorong kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan teruk, kanak-kanak yang paling terkesan," kata Arshad.

Amaran itu dibuat ketika Asia Tenggara terus terdedah kepada bahaya berkaitan iklim, termasuk panas melampau, kemarau, banjir dan ribut tropika, dengan masyarakat luar bandar antara paling teruk terjejas.

"Bencana didorong iklim tidak mengira sempadan, jadi program ini menyasarkan serantau dan akan menyelamatkan nyawa dengan memastikan amaran benar-benar sampai kepada mereka yang paling terdedah, terutamanya kanak-kanak, tepat pada masanya untuk bertindak pantas dan menyelamatkan nyawa," kata Arshad dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Inisiatif itu diwujudkan ketika sebahagian Asia Tenggara bergelut dengan ribut tropika dan gempa bumi.

Di Republik Filipina, Taufan Bavi mencetuskan tanah runtuh minggu lepas yang mengorbankan 18 orang dan menjejaskan lebih 500,000 yang lain, menurut media tempatan.

Di Republik Kesatuan Myanmar, dua gempa bumi berukuran 3.8 dan 4.0 melanda Bago dan Mandalay pada 12 Julai, lapor media kerajaan The Global New Light of Myanmar. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Di Republik Sosialis Viet Nam, hujan akibat Taufan Maysak yang semakin lemah merosakkan hampir 200 rumah dan lebih 935 hektar padi dan tanaman lain di kawasan pergunungan utara minggu lalu, lapor portal berita Vietnamplus.

Meskipun terdapat sistem amaran awal di seluruh rantau ini, amaran kritikal tidak selalunya sampai kepada komuniti yang terdedah tepat pada masanya.

"Sistem amaran awal di rantau ini kebanyakannya dari atas ke bawah dan berpecah, dan makluman boleh tiba terlalu lewat atau melalui saluran yang mengecualikan isi rumah yang jauh, lebih tua, berpendapatan rendah dan kurang pendidikan, orang kurang upaya dan komuniti yang menghadapi halangan bahasa.

"Walaupun amaran tiba, keluarga termiskin sering kekurangan upaya untuk bertindak," kata Arshad. - ©BERNAMA