Lebih 260,000 penduduk dipindahkan akibat Taufan Bavi di timur laut Republik Rakyat China

14 Jul 2026 - 12:21pm

SHENYANG, 14 Julai. - Lebih 260,000 penduduk telah dipindahkan ke kawasan selamat di Wilayah Liaoning, timur laut Republik Rakyat China, susulan hujan lebat melampau yang dibawa Taufan Bavi, menurut pihak berkuasa tempatan.

Sehingga jam 4.00 petang Isnin, kebanyakan penduduk yang dipindahkan adalah dari bandar Fushun. Dalam tempoh antara jam 6.00 pagi hingga 4.00 petang, purata taburan hujan di seluruh wilayah itu mencatatkan 33.1 milimeter (mm), manakala jumlah hujan terkumpul tertinggi sebanyak 207.2mm direkodkan di ibu wilayah, Shenyang.

Balai Cerap Meteorologi Liaoning memaklumkan hujan dijangka berterusan sehingga siang Selasa, dengan beberapa kawasan dijangka mengalami hujan lebat melampau.

Lima bandar peringkat wilayah di Liaoning telah menggantung operasi pejabat, sekolah dan aktiviti perniagaan pada Isnin. Di Shenyang, semua sekolah, tadika dan institusi latihan diarahkan menangguhkan sesi pembelajaran, manakala acara luar, perhimpunan besar, tapak pembinaan, kawasan pelancongan dan pasar malam turut ditutup.

Hujan berterusan menyebabkan paras air beberapa sungai utama, termasuk Sungai Liaohe, Hunhe, Taizi dan Puhe meningkat dengan ketara.

Ibu Pejabat Kawalan Banjir dan Bantuan Kemarau Wilayah Liaoning sedang menyelaras usaha tindak balas bencana, termasuk mempertingkat pemantauan sungai, empangan dan kawasan berisiko, di samping memastikan bekalan kecemasan mencukupi serta kesiapsiagaan operasi menyelamat dan pemindahan.

Shenyang turut mengeluarkan amaran banjir merah dan meningkatkan tahap tindak balas kecemasan banjir ke tahap tertinggi pada pagi Isnin. Hujan dijangka berterusan sehingga Selasa dengan jumlah taburan hujan antara 60 hingga 160mm.

Hujan lebat turut menyebabkan banjir kilat di beberapa jalan utama bandar, sementara beberapa pintu masuk stesen metro ditutup sementara atas faktor keselamatan.

Perkhidmatan kereta api di wilayah berkenaan turut terjejas apabila China Railway Shenyang Group menggantung banyak perkhidmatan dan menyelaraskan jadual perjalanan bagi menjamin keselamatan penumpang. Tiket bagi perjalanan yang dibatalkan boleh dituntut semula tanpa sebarang caj dalam tempoh 30 hari dari tarikh perjalanan.

Di bandar pesisir Dalian, ombak setinggi sehingga empat meter dan lonjakan air laut antara 40 hingga 80 sentimeter dijangka berlaku, menyebabkan pihak berkuasa mengharamkan semua bot nelayan keluar ke laut serta mengarahkan pekerja akuakultur luar pesisir dipindahkan ke darat.

Wilayah jiran, Jilin, turut menggantung sesi persekolahan dan beberapa perkhidmatan pengangkutan akibat hujan lebat, manakala Kementerian Sumber Air China meningkatkan tahap tindak balas kecemasan banjir ke Tahap III bagi Liaoning dan Jilin susulan peningkatan risiko banjir kilat dan aliran puing di kawasan pergunungan.

Selain itu, Wilayah Heilongjiang dan Gansu turut mengeluarkan amaran cuaca susulan ramalan hujan lebat yang boleh mencetuskan banjir kilat, bencana geologi dan banjir bandar.

Taufan Bavi, taufan kesembilan yang melanda Republik Rakyat China tahun ini, mendarat dua kali di pesisir Wilayah Zhejiang pada Sabtu sebelum bergerak ke kawasan pedalaman. Ia merupakan taufan kedua yang melanda negara itu bulan ini selepas Taufan Maysak, yang sebelum ini menyebabkan banjir besar di selatan Republik Rakyat China. - ©XINHUA