MANILA, 17 Julai. - "Perjanjian Thailand dan Kemboja untuk meneruskan rundingan dan mencari penyelesaian kepada konflik sempadan mereka semasa sidang kemuncak pemimpin ASEAN pada Mei di Cebu masih berjalan," kata Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) pada Khamis, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Pada mesyuarat tiga hala yang diketuai Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. 7 Mei lepas, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul bersetuju untuk menghalang tindakan yang boleh meningkatkan pertikaian mereka.
"Apa jua keputusan yang dibuat oleh para pemimpin semasa sidang kemuncak Mei, ia tidak berubah dan ASEAN sangat menyokong (perkara itu)," kata jurucakap DFA bagi Hal Ehwal ASEAN Dax Imperial dalam sidang media di Pasay City.
"Republik Filipina, sebagai pengerusi, juga sangat gembira dengan apa yang berlaku. Kami tidak melihat sebarang insiden besar berlaku pada masa ini. Oleh itu, kami percaya bahawa itu adalah kemajuan dan itu sesuatu yang boleh kita harapkan," tambahnya.
Semasa pertemuan tiga hala pada Mei, Hun dan Anutin turut bersetuju mengusahakan langkah untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan dan secara beransur-ansur memulihkan hubungan dua hala antara Kemboja dan Thailand, komitmen yang kemudiannya dimeterai dengan jabat tangan bersejarah di hadapan Marcos.
Terdahulu, penganalisis politik Froilan Calilung berkata mesyuarat tiga hala yang diketuai Filipina telah menghantar mesej kuat bahawa negara itu, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, "berkomitmen penuh untuk menyelesaikan konflik dengan cara yang terbaik." - ©BERNAMA