SINGAPURA, 15 Julai. - Singapura dan Indonesia melancarkan inisiatif alumni pertahanan baharu bagi memperkukuh hubungan antara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef) memaklumkan inisiatif yang dinamakan Persahabatan Alumni Pertahanan (Persahan) akan menyediakan platform bagi memastikan hubungan pertahanan terus berkembang merentasi generasi.
Inisiatif berkenaan dilancarkan bersama oleh Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing dan Menteri Pertahanan Indonesia Jeneral (B) Sjafrie Sjamsoeddin semasa lawatan Chan ke Indonesia dari 14 hingga 15 Julai.
“Persatuan alumni itu menghimpunkan beberapa generasi pegawai SAF dan TNI yang pernah mengikuti kursus dan latihan anjuran kedua-dua negara.
“Ia membolehkan pegawai berkenaan mengekalkan hubungan peribadi dan profesional selepas tamat perkhidmatan aktif, sekali gus memperkukuh hubungan antara rakyat Singapura dan Indonesia merentasi generasi,” menurut Mindef dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pertemuan dua hala itu, kedua-dua menteri turut menegaskan semula komitmen untuk memperdalam kerjasama pertahanan dan meneroka bidang kerjasama baharu. Mereka juga menekankan kepentingan meneruskan kerjasama menerusi platform pelbagai hala seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), menurut Mindef. - ©BERNAMA