Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hernie Suliana Haji Othman
SHENZHEN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Khamis, 19 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat balik meninggalkan Republik Rakyat China setelah selesai menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) Ke-33 di Shenzhen, petang tadi.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melintasi barisan kawalan kehormatan statik dan menyusuri permaidani merah sebelum berangkat menaiki pesawat khas.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Protocol Ambassador, Ministry of Foreign Affairs of the People’s Republic of China, Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing; Vice Chairman of Guangdong Provincial Committee of Chinese People's Political Consultative Conference, Puan Yang Terutama Li Xin; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Chen Shaochun.
Juga hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Dato Seri Paduka Awang Haji Hisham bin Haji Mohd. Hanifah berserta para pegawai dan kakitangan Kedutaan NBD di Republik Rakyat China.
Semasa AELM Ke-33, Kebawah DYMM telah menyertai Ketua-Ketua Ekonomi APEC yang lain bagi membincangkan langkah-langkah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan, meningkatkan hubungan perdagangan serta mempererat kerjasama di rantau Asia Pasifik.
Keberangkatan Kebawah DYMM juga mencerminkan sokongan berterusan NBD terhadap usaha memperkukuh kerjasama dengan rakan-rakan serantau demi keamanan dan kemajuan bersama.
Di bawah tema ‘Building an Asia-Pacific Community to Prosper Together’, APEC 2026 telah memberikan tumpuan kepada tiga keutamaan, iaitu keterbukaan, inovasi dan kerjasama.
Perbincangan turut merangkumi usaha-usaha untuk memperkukuh integrasi ekonomi serantau, memanfaatkan teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI) serta meningkatkan kerjasama dalam menangani cabaran bersama.