Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Antarabangsa Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 September. – Sekolah Antarabangsa Brunei (International School Brunei-ISB) baru-baru ini mengadakan Majlis Anugerah Pencapaian Lembaga Pengarah (Board of Directors Achievement Awards Ceremony) tahunannya bagi meraikan para pelajar International Baccalaureate (IB) yang mencatatkan keputusan cemerlang bagi sesi Mei 2026.
Majlis berkenaan diadakan di Teater ISB dan dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa; Awang Haji Rashid bin Abdul Razak, Roy David Kurian, dan Jorge Francisco Vega.
Turut hadir dari Kementerian Pendidikan, Pegawai Pendidikan Kanan, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Awang Haji Syed Rozman bin Haji Syed Abdul Rahim.
Hadir sama, Pengetua Eksekutif ISB, Dominic Morley; Pengurus Besar ISB, Vienna Law; serta pihak pengurusan kanan, tenaga pengajar dan kakitangan ISB, selain ibu bapa para pelajar.
Board of Directors Achievement Awards mula diperkenalkan pada 2018 dan 2026 merupakan kali kesembilan pelajar IB terbaik ISB menerima pengiktirafan berkenaan, berserta bantuan kewangan bagi menyumbang kepada kos melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi.
Program Diploma IB merupakan antara program pendidikan pasca-16 tahun yang terkemuka di dunia dan terkenal dengan tahap akademiknya yang mencabar.
Pada tahun ini, seramai 23 graduan ISB menerima anugerah sempena Board of Directors Achievement Awards Ceremony berdasarkan pencapaian mereka dalam program IB, sekali gus mencerminkan keputusan Diploma IB yang amat membanggakan serta meneruskan tradisi kecemerlangan akademik di ISB.
Bagi pencapaian keputusan IB pada tahap tertinggi, para graduan ISB menerima Anugerah Kecemerlangan dalam kategori gangsa, perak atau emas, dengan jumlah mata keseluruhan antara 37 hingga 45.
Sementara itu, Anugerah Pencapaian Khas diberikan kepada graduan yang menunjukkan peningkatan prestasi akademik yang ketara sepanjang mengikuti pengajian IB.
Pada tahun ini, seramai lima pelajar menerima ISB Board of Directors Silver Excellence Award, yang diberikan kepada pelajar yang memperoleh antara 40 hingga 42 mata keseluruhan.
Penerima terdiri daripada Rohan Rajurs dan Wu Jia Yi yang masing-masing memperoleh 42 mata; ISB Board of Directors Scholar, Ashmit Sreejith dengan 41 mata; serta Ardan Lee dan penerima biasiswa Kementerian Pendidikan yang juga merupakan pelajar ISB Residence, Sofiyah Erwandi, yang masing-masing memperoleh 40 mata.
Manakala lima pelajar, iaitu ISB Board of Directors Scholars, Daniel Wong; Eloise Tan dan Han Rim, serta penerima biasiswa Kementerian Pendidikan dan pelajar asrama ISB Residence Najla Suzimin dan Shafiqah Embran, pula menerima Anugerah Kecemerlangan Gangsa Lembaga Pengarah ISB selepas memperoleh antara 37 hingga 39 mata.
Sementara itu, Anugerah Pencapaian diberikan kepada 23 pelajar, iaitu Adrian Cunningham, Aeno Wong, Ardan Lee, Ashmit Sreejith, Belle Yapp, Daniel Wong, Eloise Tan, Garrey Chan, Griff Oakley, Han Rim, Jasmine Wong, Lim Swee Zhu, Matilde Vega, Najla Suzimin, Qilah Ariffin, Rohan Rajurs, Shafiqah Embran, Sofia Yani, Sofiyah Erwandi, Soon Kai Li, Syahirah Sahrin, Wong Kai Jie dan Wu Jia Yi.
Anugerah berkenaan diberikan kepada para pelajar yang berjaya memperoleh sekurang-kurangnya lima mata lebih tinggi daripada sasaran asas IB yang ditetapkan secara individu bagi setiap pelajar.
Pengerusi Lembaga Pengarah ISB dalam ucapan alu-aluannya berkata, pihaknya amat berbangga dengan pencapaian kohort IB 2026 yang bukan sahaja memperoleh keputusan cemerlang dalam program yang mencabar dan menuntut komitmen tinggi berkenaan, malah berjaya menerima biasiswa berprestij untuk melanjutkan pengajian di universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia.
Menurutnya lagi, kejayaan berkenaan mencerminkan hasil usaha gigih yang berterusan, sikap positif serta kerjasama dan semangat berpasukan dalam kalangan warga ISB.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan IB, ibu bapa, ahli keluarga, Kementerian Pendidikan serta para tenaga pengajar dan kakitangan ISB atas kecemerlangan akademik yang dicapai pada tahun ini, selain mendoakan agar para graduan terus mencapai kejayaan dalam melangkah ke fasa baharu kehidupan akademik mereka.
Sementara itu, Pengetua Eksekutif ISB dalam ucapan alu-aluannya berkata, pihak sekolah amat berbangga kerana sebagai sebuah sekolah yang benar-benar inklusif, ISB sentiasa menyediakan pendidikan yang cemerlang kepada semua pelajarnya.
Menurutnya lagi, keputusan IB yang dicapai turut membuktikan prestasi akademik yang amat tinggi dalam kalangan para pelajar ISB.
Beliau turut menyifatkan kejayaan para pelajar sebagai hasil usaha gigih yang dilakukan selama bertahun-tahun, dengan sokongan guru-guru yang berdedikasi, ibu bapa serta rakan-rakan.
“Kami mendoakan agar para graduan terus berjaya ketika melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi dan seterusnya membina kerjaya yang cerah pada masa hadapan,” ujarnya lagi.
Majlis turut menampilkan seorang alumni ISB dan graduan IB Kelas 2007, Lin Ji Liaw, sebagai penceramah jemputan yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Sains Biologi di Universiti Brunei Darussalam (UBD), diikuti dengan Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Biodiversiti, Hidupan Liar dan Pengurusan Kesihatan Ekosistem di University of Edinburgh.
Kini, beliau merupakan Rakan Kongsi di ERM APAC (Capital Projects Delivery), dengan mengetuai pelbagai projek termasuk penilaian impak strategik bagi membantu syarikat-syarikat dalam peralihan ke arah kelestarian.
Dalam ucapan melalui rakaman video, Lin Ji Liaw berkongsi pengalaman beliau mengikuti Program Diploma IB di ISB serta bagaimana program berkenaan membantu mempersiapkan dirinya untuk mencapai kejayaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada usaha ISB dalam menerajui agenda kelestarian. Pengalaman sepanjang berada di ISB telah meningkatkan minatnya terhadap pemuliharaan biodiversiti serta mendedahkannya kepada pelbagai cabaran dalam usaha membangunkan ekonomi yang mampan.
“Dalam banyak cara, kemahiran komunikasi, penyediaan resolusi dan perbahasan yang dipelajari melalui ISB Borneo Global Issues Conference (BGIC) dan Model United Nations banyak membantunya dalam membina kerjaya.
“Kepada lembaga pengarah, pihak pengurusan dan kakitangan ISB, terima kasih atas sokongan serta komitmen berterusan dalam pembangunan sekolah dan pelajarnya. Dan kepada para pelajar, tahniah sekali lagi.
“Saya yakin bahawa masa anda di ISB akan membantu membentuk perjalanan kehidupan masing-masing dalam memberikan impak yang positif dan bermakna kepada masyarakat dan alam semula jadi,” ujarnya lagi.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup daripada penerima Anugerah Kecemerlangan Gangsa dan Sarjana Lembaga Pengarah ISB, Eloise Tan, yang berkongsi perjalanan mencapai kecemerlangan akademik serta perkembangan kepimpinan diri, di samping merakamkan penghargaan yang mendalam kepada para guru ISB atas dedikasi dan sokongan yang diberikan.
Beliau turut menggalakkan rakan-rakan pelajar untuk terus mengenali dan mengembangkan potensi diri masing-masing.
Selain meraikan pencapaian para graduan, majlis berkenaan turut menjadi acara perpisahan terakhir bagi para pelajar Tahun 13 sebelum mereka melangkah ke alam universiti di pelbagai destinasi di seluruh dunia.
Keputusan IB yang dicapai oleh kohort Tahun 13 pada 2026 sekali lagi menyerlahkan rekod kecemerlangan akademik ISB sebagai sebuah sekolah yang inklusif, di samping mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pilihan utama bagi pendidikan IB di Negara Brunei Darussalam dalam mempersiapkan para pelajar untuk mencapai kejayaan di persada antarabangsa.