Siaran Akhbar dan Foto : Kumpulan Action Hearts
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 September. - Majlis Pelancaran Video, Penyerahan Sijil Penghargaan dan Pengagihan Bahan Kempen C.A.R.E (Creating Awareness on Responsible Management and Disposal of Expired or Unused Medicines) telah diadakan pada hari ini, bertempat di Dewan Ittisal, Institut Perkhidmatan Awam (IPA).
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Kumpulan Action Hearts (KAH) yang terdiri daripada enam pegawai, bersempena Projek Jangkauan Komuniti (Community Outreach Project) yang merupakan salah satu modul dalam Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan Kerajaan Kohort Ke-37 (EDPMMO-37), yang dikendalikan oleh IPA.
KAH turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan sepanjang projek Kempen C.A.R.E dijalankan bagi memastikan maklumat yang disampaikan tepat dan berasaskan panduan pakar yang betul.
Pada majlis berkenaan, video Kempen C.A.R.E. telah dilancarkan dan dirasmikan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Dayang Hajah Zanatul 'Aini binti Haji Zainin, selaku tetamu kehormat majlis.
Video kesedaran berkenaan berperanan untuk melengkapi pelbagai inisiatif kempen lain yang telah dilaksanakan dengan menyampaikan mesej utama Kempen C.A.R.E. dalam bentuk yang lebih mudah difahami dan menarik bagi orang ramai.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Pengarah IPA, Dr. Hajah Noor Maya binti Hj. Md. Salleh, serta pegawai-pegawai kerajaan dan pihak-pihak penaja kempen yang dijemput bagi memeriahkan majlis berkenaan.
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat I Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM), Dayang Hajah Nira Niryanna binti Haji Suhaili, selaku Ketua KAH, yang antara lain menerangkan latar belakang dan matlamat Kempen C.A.R.E.
Kempen C.A.R.E. memfokuskan kepada isu pengurusan dan pembuangan ubat-ubatan yang telah mansuh atau tidak digunakan dalam kalangan masyarakat, satu isu yang mungkin jarang dipandang, namun membawa risiko sebenar kepada kesihatan awam dan alam sekitar.
Pembuangan ubat secara tidak betul, seperti dibuang ke dalam tong sampah atau disalurkan ke dalam sistem perairan boleh mencemari alam sekitar dan membawa risiko kepada kesihatan awam. Di samping itu, pengurusan ubat yang tidak betul juga boleh membawa risiko kepada keselamatan seisi keluarga termasuk pengambilan tanpa sengaja.
Sepanjang perlaksanaan Kempen C.A.R.E., pelbagai inisiatif dan aktiviti telah dijalankan oleh KAH, termasuk menjalankan kaji selidik bagi mengenal pasti tahap pengetahuan, amalan dan persepsi orang ramai mengenai penyimpanan dan pembuangan ubat, serta penghasilan bahan-bahan kempen seperti poster dan risalah, penerbitan sebuah video kesedaran, pembarigaan maklumat kesedaran melalui sesi temu bual bersama Radio Televisyen Brunei menerusi saluran televisyen dan radio, serta menyokong usaha pengumpulan ubat mansuh atau tidak digunakan menerusi penyediaan peti pemulangan ubat yang dihasilkan sendiri oleh ahli kumpulan.
Menerusi pelbagai inisiatif kempen, ia diharap dapat membina kesedaran masyarakat secara berterusan supaya lebih bertanggungjawab dalam menyimpan, menggunakan dan membuang ubat-ubatan, sekali gus menyumbang kepada kesihatan awam dan pemeliharaan alam sekitar yang lebih baik.
Bagi memastikan usaha kesedaran kempen dapat terus disemarakkan, ia turut menjadi platform untuk KAH mengagihkan poster kesedaran kepada wakil daripada setiap kementerian untuk disebarluaskan, serta menyerahkan bahan-bahan Kempen C.A.R.E. kepada Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, bagi terus dimanfaatkan pada masa hadapan.
Majlis berkenaan turut diisikan dengan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada pihak-pihak penaja kempen, iaitu TGT Sdn. Bhd., Goldmyne Hardware Sdn. Bhd., dan Ezy Printing Services & Trading Co. Sdn. Bhd.