Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Siti Rokiah Abdullah, ihsan Jabatan Pengajian Islam
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 September. - Dalam suasana negara menghadapi musim jerebu, kesihatan dan keselamatan para pelajar menjadi keutamaan pihak sekolah, khususnya apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.
Beberapa hari lepas, para pelajar telah menjalani pembelajaran berasaskan rumah atau Home-Based Learning (HBL) sebagai salah satu langkah bagi mengurangkan pendedahan kepada udara berjerebu.
Semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei, beberapa orang guru dan pelajar daripada Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STA HB), Bandar Seri Begawan, berkongsi pandangan serta pengalaman mereka dalam menghadapi keadaan cuaca berjerebu, di samping membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Menurut Pegawai Pendidikan Ugama di STA HB, Dayang Nurul Aima binti Zaini, selain menyediakan Pek Pembelajaran di Rumah (Home-Learning Pack), para guru turut memanfaatkan penggunaan teknologi dan bahan digital bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan dengan baik.
Beliau menjelaskan, perbincangan dan sesi pembelajaran dijalankan melalui aplikasi Microsoft Teams dan Google Meet, manakala tugasan serta arahan diberikan melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, kaedah berkenaan membolehkan para pelajar mengikuti pembelajaran dan melaksanakan tugasan yang diberikan tanpa perlu terdedah kepada keadaan cuaca berjerebu.
Dalam memastikan persediaan pelajar menghadapi peperiksaan tidak terjejas, Dayang Nurul Aima berkata, para guru di STA HB berusaha memastikan proses pengajaran dan pembelajaran terus berjalan walaupun terdapat beberapa penyesuaian berikutan keadaan berjerebu.
Antaranya termasuk menyediakan nota, latihan, bahan ulang kaji dan tugasan yang bersesuaian melalui platform digital, di samping memberikan latihan pengukuhan dan bimbingan secara lebih berfokus seperti latihan bertulis (Tamrin Tahriri) dan mendengarkan hafalan (Tasmie’ hafalan).
Komunikasi antara guru dan pelajar juga, menurut beliau, amat penting, dengan guru perlu sentiasa memantau perkembangan pelajar, memberikan motivasi dan menggalakkan mereka mempunyai jadual ulang kaji yang teratur.
“InsyaaAllah, dengan perancangan dan kerjasama yang baik, keadaan berjerebu tidak akan menjadi penghalang kepada persediaan pelajar untuk menghadapi peperiksaan,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan para pelajar supaya sentiasa mengutamakan kesihatan, terutama apabila kualiti udara tidak baik, selain mendapatkan rehat yang mencukupi, minum air secukupnya dan mengelakkan aktiviti fizikal di luar ketika keadaan berjerebu.
Walau bagaimanapun, pembelajaran dan ulang kaji di rumah perlu diteruskan seperti biasa mengikut kemampuan dan keadaan masing-masing. Para pelajar juga digalakkan memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya untuk mengulang kaji, menyiapkan tugasan dan membaca bahan pembelajaran supaya masa tidak terbuang begitu sahaja.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Ugama di STA HB, Awang Haji Mohd. Hainney bin Haji Hamidon, menyatakan bahawa semua aktiviti kokurikulum, sukan dan perhimpunan di luar bangunan sekolah ditiadakan serta-merta bagi melindungi kesihatan dan keselamatan para pelajar.
Selain itu, katanya, para guru turut membekalkan modul kerja rumah atau tugasan bertulis kepada pelajar yang menghadapi kekangan capaian internet di rumah.
Dalam memastikan para pelajar tidak terjejas, terutama mereka yang akan menduduki peperiksaan, kelas tambahan dan ulang kaji dalam talian juga diteruskan melalui sesi bimbingan, perbincangan soalan-soalan peperiksaan dan ulang kaji secara maya melalui platform digital.
Tambah beliau, para guru turut membekalkan para pelajar dengan modul soalan percubaan, kertas model peperiksaan serta nota ringkas untuk diselesaikan ketika berada di rumah.
Pada masa yang sama, beliau berkata, para guru sentiasa membuka saluran komunikasi digital seperti WhatsApp atau Telegram bagi membolehkan para pelajar bertanya atau mendapatkan bantuan sekiranya menghadapi kesukaran memahami topik-topik peperiksaan.
Dalam pada itu, para pelajar disarankan supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan, khususnya aktiviti fizikal dan sukan, bagi mengurangkan pendedahan kepada udara berjerebu.
Para pelajar juga dinasihatkan supaya kerap meminum air kosong bagi memastikan badan kekal terhidrat serta membantu menjaga kesihatan sistem pernafasan.
Bagi salah seorang pelajar, Awang Muhammad Danish Hilman bin Aziz Shamri, yang menuntut di Pra U2 Abu Hurairah, antara persiapan yang dilakukannya dalam menghadapi peperiksaan termasuk menyusun jadual, mengulang kaji topik-topik penting serta memperbanyak latihan dan soalan tahun-tahun sebelumnya.
Pada masa yang sama, beliau turut memastikan kesihatan dan waktu rehat sentiasa terjaga agar dapat belajar dengan lebih berkesan.
Dalam menghadapi pembelajaran secara dalam talian, beliau menjelaskan bahawa dirinya sentiasa berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dengan mengurus masa sebaik-baiknya. Selain itu, beliau turut memastikan kemudahan pembelajaran tersedia dan mengikuti kelas dengan konsisten.
Menurutnya, sokongan padu yang diberikan oleh ibu bapa dan guru banyak memberikan sokongan, nasihat dan dorongan kepadanya.
“Mereka sentiasa mengingatkan agar saya tidak mudah berputus asa, di samping berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Kata-kata mereka menjadi sumber motivasi untuk saya kekal fokus dan bersungguh-sungguh dalam membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB),” ujarnya.
Sementara itu, Dayang Nurul Huda binti Asmadillah berkata, antara persiapan yang telah dibuat menjelang peperiksaan STPUB ialah menyediakan jadual ulang kaji pelajaran beberapa bulan sebelum peperiksaan agar dapat membuat persediaan sepenuhnya bagi semua subjek.
Selain menjaga kesihatan dan pemakanan, mendapatkan tidur dan rehat yang cukup juga membantunya untuk kekal fokus sepanjang tempoh mengulang kaji pelajaran.
Memandangkan negara dilanda jerebu ketika beliau dan para pelajar lain sedang membuat persediaan menghadapi peperiksaan STPUB, menjaga kesihatan menjadi salah satu keutamaan agar pembelajaran tidak terjejas.
“Dengan itu, saya hanya mengulang kaji pelajaran di dalam rumah agar mengurangkan pendedahan kepada asap jerebu yang boleh menimbulkan penyakit,” jelasnya.
Beliau turut menghargai sokongan ibu bapa yang menyediakan ruang yang selesa dan memberikan masa agar dirinya dapat fokus dalam mengulang kaji pelajaran. Namun begitu, beliau masih meluangkan masa bersama keluarga agar tidak terlalu stres kerana terperap di dalam bilik sepanjang hari. Menurutnya, ibu bapa merupakan antara penyokong yang memberikan impak besar kepadanya dengan sentiasa bertanya mengenai perkembangan ulang kajinya serta memberikan kata-kata semangat supaya tidak berputus asa.
Manakala guru-guru juga, katanya, turut memberikan motivasi dengan sentiasa mengingatkan tentang matlamat mereka sebagai pelajar yang berwawasan untuk terus berusaha demi kejayaan dan masa depan.