Kursus Asas Haji, Umrah bermula 13 September

10 Sep 2026 - 4:40am

Siaran Akhbar dan Infografik : Kementerian Hal Ehwal Ugama

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 September. - Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Haji akan mengadakan Kursus Asas Haji dan Umrah 1448 Hijrah / 2026 Masihi sebanyak enam sesi, bermula Ahad, 1 Rabiulakhir 1448 bersamaan 13 September 2026 hingga 7 Jamadilawal 1448 bersamaan 18 Oktober 2026.

Kursus berkenaan akan diadakan pada setiap Ahad mulai pukul 8.00 pagi hingga 10.00 pagi, bertempat di tujuh buah masjid yang terpilih di keempat-empat daerah. 

Kursus antara lain bertujuan untuk menyebarluaskan ilmu dan pengetahuan mengenai manasik haji dan umrah, memberikan kefahaman mengenai pelaksanaan ibadat haji dan umrah serta sebagai persediaan awal bagi bakal jemaah haji.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Urusan Haji mengalu-alukan orang ramai, pemohon yang berada dalam senarai menunggu serta bakal jemaah haji yang telah terpilih untuk menunaikan Fardu Haji bagi Musim Haji 1448H/2027M untuk mengikuti kursus tersebut.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, kursus akan diadakan di empat buah masjid iaitu di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop pada 1 Rabiulakhir 1448H bersamaan 13 September 2026 dengan guru pengkursus Awang Haji Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi; Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong pada 8 Rabiulakhir 1448H bersamaan 20 September 2026 dikendalikan oleh Awang Haji Abdul Mu’iz bin Haji Amat;  Masjid Hassanal Bolkiah, Jalan B,  Kampung Mentiri pada 15 Rabiulakhir 1448H bersamaan 27 September 2026 dikendalikan oleh Awang Haji Fansuri Sharimi @ Haji Mansur bin Haji Mohammad Ali; dan Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba pada 22 Rabiulakhir 1448H bersamaan 4 Oktober 2026 dan akan dibimbing oleh Pengiran Haji Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar.

Bagi Daerah Tutong, kursus akan diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong pada 29 Rabiulakhir 1448H bersamaan 11 Oktober 2026 dan dikendalikan oleh Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustafa.

Sementara itu bagi Daerah Belait, kursus akan berlangsung di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait pada 7 Jamadilawal 1448H bersamaan 18 Oktober 2026 dikendalikan oleh Awang Haji Ibrahim bin Haji Mat Daud.

Manakala bagi Daerah Temburong akan diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong pada 7 Jamadilawal 1448H bersamaan 18 Oktober 2026 dan dibimbing oleh Awang Haji Rozaiman bin Haji Abd Rahman.

Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung terus ke Jabatan Urusan Haji melalui talian +673 2384478 atau e-mel ‘juh.kheu@mora.gov.bn’.