Siaran Akhbar dan Foto : Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit
MADANG, Rabu, 9 September. - Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis Madang, menerima kunjungan rombongan seramai 12 orang daripada Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Sarawak.
Rombongan tersebut diketuai oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Sarawak, Dr. Haji Loji Roji bin Haji Saibi.
Turut hadir semasa kunjungan berkenaan ialah Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong; Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Awang Haji Abdullah @ Dollah bin Haji Ahad serta para penasihat dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD.
Lawatan tersebut diserikan dengan Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra bersama Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD, yang menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuh jalinan kerjasama serta bertukar pandangan dalam bidang sejarah, kemasyarakatan dan keagamaan antara kedua-dua pihak.
Kunjungan ini turut mencerminkan hubungan erat serta semangat kerjasama yang terjalin dalam usaha memperkasa hubungan persahabatan dan perkongsian ilmu, khususnya dalam bidang sejarah dan kemasyarakatan.
Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rombongan Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Sarawak atas kunjungan serta jalinan silaturahim yang terjalin.
Semoga kunjungan ini akan terus memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua pihak pada masa akan datang.