Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Ihsan Pusat Da'wah Islamiah
JUNJONGAN, Jumaat, 14 Ogos. - Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan, Mukim Pengkalan Batu, awal pagi tadi mengadakan Program Pejuang Fajr Kali Ke-20 di Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan, di sini.
Hadir, Setiausaha Tetap, KHEU, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.
Atur cara dimulakan dengan Qiyamullail, iaitu Sembahyang Sunat Tahajjud yang dipimpin oleh AJK Badan Sukarelawan Belia Da'ie.
Acara kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan, diikuti dengan bacaan Selawat beramai-ramai dan bacaan Surah Al-Kahfi yang dipimpin oleh AJK Badan Sukarelawan Belia Da'ie.
Seterusnya, tazkirah subuh bertemakan 'Cinta Nabi : Upgrade Hati' disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Dalam tazkirah berkenaan, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani antara lain menekankan kepentingan Tazkiyatun Nafs dalam membentuk peribadi Muslim yang lebih baik, khususnya dalam menghayati bulan Rabiulawal.
Para peserta turut diseru agar sentiasa berakhlak mulia, berusaha memperbaiki kelemahan diri, melakukan muhasabah, mengamalkan sifat husnuzon serta mempunyai wawasan yang luas dalam kehidupan, di samping meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Program diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Program berkenaan merupakan salah satu usaha Badan Sukarelawan Belia Da'ie dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah pertubuhan belia yang aktif dalam bidang dakwah dan Al-Amr Bil Ma'ruf Wa An-Nahyu 'Anil Munkar di Negara Brunei Darussalam, khususnya melalui kempen Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah.
Selain itu, program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mahabbah, iaitu rasa cinta dan kasih sayang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, melalui pemantapan iman, doa, ibadah dan amal soleh, di samping memperbanyakkan Selawat ke atas Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ahli keluarga serta para sahabat Baginda.
Program juga bertujuan untuk memupuk semangat Tazkiyatun Nafs, iaitu usaha mensucikan jiwa, khususnya dalam menyambut bulan Rabiulawal yang merupakan bulan yang istimewa bersempena dengan Hari Keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping mengimarahkan masjid melalui pelbagai aktiviti keagamaan dan kerohanian yang bermanfaat.
Program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 100 orang, yang terdiri daripada jemaah Masjid As-Salaam, pegawai - pegawai kerajaan, golongan pesara, para belia termasuk mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, dan AJK Belia Da'ie serta orang awam.