Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 September. – Jenama makanan tempatan, Express, kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) dengan pembukaan Express Airport, menandakan kembalinya jenama berkenaan ke LTAB selepas lebih sedekad.
Majlis Pembukaan Rasmi yang diadakan pada pagi tadi telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis iaitu Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Dayang Hajah Mardiana binti Haji Omar selaku Pemangku Pengerusi Royal Brunei Culinary (RBC).
Turut hadir, pihak pengurusan RBC, wakil-wakil dari Darussalam Assets dan Jabatan Penerbangan Awam, serta para pengamal media.
Express mula beroperasi di LTAB pada 1988 dan menjadi antara jenama yang tidak asing lagi dalam pengalaman perjalanan di LTAB bagi ramai rakyat Negara Brunei Darussalam.
Cawangan baharu berkenaan turut mengambil inspirasi daripada konsep asal Express dengan mengekalkan warna merah, biru dan putih yang menjadi identiti jenama berkenaan, selain mengetengahkan reka bentuk berinspirasikan retro dengan sentuhan baharu yang lebih segar.
Semasa berucap pada majlis pembukaan berkenaan, Pengurus Besar RBC, Awang Haji Jeff Hadiman bin Dato Paduka Haji Danial, berkata kembalinya Express ke LTAB berkenaan merupakan satu detik istimewa bagi jenama tersebut.
Menurutnya, Express sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah kulinari RBC dan bagi ramai rakyat NBD, jenama berkenaan turut mempunyai nilai sentimental sebagai sebahagian daripada kenangan zaman membesar.
“Dengan membawa kembali Express ke lapangan terbang, kita berpeluang mengimbau kembali kenangan tersebut, di samping memperkenalkannya kepada generasi baharu,” ujarnya.
Sebagai salah satu pintu masuk utama NBD, LTAB memberi peluang kepada Express untuk memperkenalkan cita rasa jenama tempatan kepada para pengunjung, di samping menawarkan sesuatu yang tidak asing lagi kepada rakyat NBD ketika tiba di tanah air atau sebelum memulakan perjalanan.
Pembukaan Express Airport turut mencerminkan usaha berterusan RBC dalam mengembangkan jenama tempatan sambil mengekalkan hidangan kegemaran yang telah dikenali dan dinikmati pelanggan selama ini.
Dengan kembalinya Express ke LTAB, kini membuka lembaran baharu di lokasi yang menjadi titik permulaan kisahnya pada 1988, dengan mengembalikan hidangan klasik NBD di samping memperkenalkan pilihan baharu untuk dinikmati oleh generasi seterusnya.