Pertandingan Seni Khat ketengahkan bakat, kreativiti tempatan

31 Okt 2026 - 7:40am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Adzraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 30 Oktober. - Usaha memartabatkan tulisan Jawi melalui seni kaligrafi Islam terus diperkasa oleh Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) menerusi pelbagai program dan aktiviti seni khat yang dianjurkan sepanjang tahun, termasuk Pertandingan Seni Khat yang bertujuan untuk memupuk minat, mengasah bakat serta meningkatkan kemahiran masyarakat dalam bidang berkenaan.

Sehubungan itu, PPKKI-YSHHB mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Seni Khat 1448 Hijrah / 2026 Masihi sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) Ke-34 Tahun yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks YSHHB.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB dan juga Pengerusi Lembaga Tadbir PPKKI-YSHHB, yang seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Pertandingan Seni Khat 1448H/2026M kali ini dibahagikan kepada dua konsep, iaitu Karya Siap dan Karya Spontan.

Karya Siap merangkumi dua kategori, iaitu Terbuka (Tradisional) dan Kontemporari; manakala Karya Spontan mempertandingkan empat kategori, iaitu Saudara Baru, Institut Pengajian Tinggi (IPT), Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah.

Pertandingan Karya Spontan telah diadakan pada 12 Oktober 2026, sementara penyertaan bagi Karya Siap mula dibukakan mulai 3 Ogos 2026 dengan tarikh tutup penghantaran karya pada 16 Oktober 2026.

Pertandingan berkenaan bertujuan untuk mengetengahkan bakat tempatan, di samping menggalakkan penghasilan karya seni khat yang bermutu dan kreatif, sama ada dalam bentuk tradisional mahupun kontemporari.

Inisiatif berkenaan turut dihasratkan dapat memperkukuh penghayatan serta penghargaan masyarakat terhadap keindahan seni khat sebagai salah warisan kesenian Islam.

Melalui penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar sekolah, penuntut IPT dan Saudara Baru, pertandingan berkenaan juga bertujuan untuk menggalakkan penglibatan berterusan dalam bidang seni khat serta mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi menjadi generasi pelapis.

Usaha berkenaan diharap dapat menyumbang kepada pemeliharaan dan pengembangan seni khat di negara ini, selaras dengan hasrat penubuhan PPKKI-YSHHB untuk memartabatkan tulisan Jawi melalui kaligrafi Islam.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Khattat PPKKI-YSHHB, Awang Muhammad Asyraaf bin Haji Mohd. Rambli, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Penolong Pengarah Urusan (Perkhidmatan Projek Khas) YSHHB, Mejar (B) Sopian bin Haji Mohammad Yassin, selaku Pengerusi Majlis.

Majlis turut diisi dengan ulasan hakim pertandingan yang disampaikan oleh Penolong Pegawai PPKKI-YSHHB, Awang Hamdy bin Emran, selaku wakil hakim pertandingan.

Bagi pertandingan Karya Siap dalam Kategori Terbuka (Tradisional), Awang Haji Muhammad Nazir bin Haji Othman muncul sebagai juara dengan markah 89 peratus dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak BND2,000.

Manakala naib juara disandang oleh Awang Muhammad Azizi bin Haji Jamil dengan kutipan markah 85.1 peratus, sekali gus menerima hadiah wang tunai BND1,500; sementara Pengiran Yusdi bin Pengiran Rumbli menduduki tempat ketiga dengan markah 81.5 peratus dan menerima hadiah wang tunai BND1,000.

Sementara itu, bagi pertandingan Karya Siap dalam Kategori Kontemporari pula, Awang Muhammad Nadzrul Al-Hapeez bin Haji Awang Mohidi meraih tempat pertama dengan markah 82.5 peratus dan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,500.

Manakala Pengiran Khamarulzaman bin Pengiran Haji Tajuddin menduduki tempat kedua dengan markah 79.2 peratus dan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,200, sementara Awang Khairol Helmy bin Abdullah pula berada di tempat ketiga dengan markah 78.7 peratus dan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,000.

Bagi pertandingan Karya Spontan dalam Kategori Saudara Baru, Awang Khairol Helmy bin Abdullah muncul sebagai juara dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND700, diikuti naib juara dimenangi oleh Awang Nor Hashim bin Abdullah dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND500, manakala Dayang Nurhaziqah Insyirah binti Abdullah Musim @ Melny Nony pula berada di tempat ketiga dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND300.

Sementara itu, bagi Pertandingan Karya Spontan dalam Kategori IPT menyaksikan Awang Mohammad Rohaidi bin Johadi dari BICPA Academy meraih tempat pertama dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND350, diikuti pemenang kedua dimenangi oleh Awang Muhammad Azizi bin Haji Mohd. Jamil dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND250, manakala Awang Hadif Hadwan bin Mawardi, juga dari KUPU SB, menduduki tempat ketiga dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND150.

Bagi Pertandingan Karya Spontan dalam Kategori Sekolah Menengah, Dayang Siti Nurin Alya Bazilah @ Siti Athirah binti Mohd. Fakhrul Zulfitri dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) muncul sebagai juara dan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND300, diikuti naib juara diraih oleh Awang Muhammad Aqwa Rizqi Wahyuddin bin Eddy Waheyu Sofian dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND200, manakala Dayang Nur Soffiyya Khalisah binti Haji Nuurmatiin dari SUAMPRIPAHS pula menduduki tempat ketiga dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND100.

Sementara itu, bagi Pertandingan Karya Spontan dalam Kategori Sekolah Rendah pula, Dayangku Nur Rania Qaisara binti Pengiran Md. Nurshereful Feisel dari Sekolah Rendah Dato Othman meraih tempat pertama dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND200, diikuti Dayang Ain Nabihah binti Haji Elmy Esmady dari Sekolah Ugama Amar Pahlawan menduduki tempat kedua dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND150, manakala Awang Mohd. Nur Aniq Syahmi bin Mohd. Yusri dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Hajah Masna berada di tempat ketiga dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND100.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Tadbir PPKKI-YSHHB; Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB; dan Ahli Lembaga Tadbir PPKKI-YSHHB, Ahli-ahli Lembaga Tadbir PPKKI-YSHHB, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fadzlin bin Haji Amdan; Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta pegawai-pegawai kanan YSHHB.