PLP platform pembarigaan maklumat mengenai dasar, aktiviti kerajaan

10 Sep 2026 - 6:02am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Penerangan

BERAKAS, Rabu, 9 September. – Sebagai salah satu landasan dalam menyampaikan maklumat rasmi dan maksud kerajaan dalam kalangan belia, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Temburong menganjurkan Program Literasi Penerangan (PLP) bagi belia Daerah Temburong selama dua hari, mulai 9 hingga 10 September 2026.

PLP bagi belia Daerah Temburong kali ini disertai oleh seramai 18 belia dari Daerah Temburong yang terdiri daripada belia mukim dan kampung.

Hadir pada Majlis Pembukaan program berkenaan yang bertempat di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan ialah Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi Strategik, Dayang Saadiatul Nur Aqilah binti Haji Jaman.

Turut hadir, pegawai-pegawai dari Jabatan Penerangan.

Pemangku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Awang Muhammad Azyzul Azman @ Rosman bin Yakub, selaku Pengerusi Program dalam ucapannya antara lain menyentuh mengenai PLP berkenaan merupakan salah satu usaha Jabatan Penerangan dalam merealisasikan visi jabatan iaitu ‘Membudayakan Masyarakat Bermaklumat’, di samping terus memperluas penyampaian maklumat mengenai dasar dan aktiviti kerajaan melalui pelbagai platform dan pendekatan yang bersesuaian.

Tambahnya lagi, tema program kali ini, iaitu ‘Belia Celik Maklumat, Peneraju Perubahan’, amat bertepatan dengan peranan belia pada masa kini, khususnya dalam menilai, memahami dan menggunakan maklumat secara bijak sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Dalam masa yang sama, kita juga tidak dapat lari daripada perkembangan Visit Brunei Year 2027, yang akan menjadi satu platform penting untuk mengetengahkan Negara Brunei Darussalam, khususnya keindahan alam semula jadi, budaya, warisan serta nilai-nilai yang menjadi identiti negara.

“Dalam hal ini, para belia mempunyai peranan yang penting sebagai duta tempatan, khususnya melalui penggunaan media sosial secara positif dan kreatif. Biskita bukan sahaja menjadi penerima maklumat, tetapi juga boleh menjadi penyampai maklumat yang tepat dan membantu membina imej positif NBD,” ujarnya lagi.

Sepanjang program dua hari berkenaan, para peserta didedahkan dengan pelbagai maklumat semasa, termasuk mengenai konsep keterangkuman (inclusivity), pembinaan jati diri yang berdaya tahan dan aspirasi belia melalui pengisian seperti taklimat, aktiviti dan lawatan ke agensi-agensi terpilih.

Para peserta akan diberikan taklimat antaranya mengenai ‘Peranan dan Tanggungjawab Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam’ oleh Jabatan Penerangan; ‘Aspirasi Belia’ oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; serta Bengkel ‘Menambat Dastar dan Menapih Sinjang’ oleh Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, para peserta juga mengadakan lawatan ke Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan diberikan taklimat mengenai ‘Memahami Konsep Inklusiviti (Belajar Bahasa Isyarat)’.

Dalam usaha memantapkan lagi visi ‘Membudayakan Masyarakat Bermaklumat’, Jabatan Penerangan akan sentiasa mempelbagaikan platform pembarigaan maklumat mengenai dasar dan aktiviti kerajaan, di samping memberikan peluang kepada jabatan untuk lebih memahami kehendak semasa dalam kalangan belia.