Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
TUTONG, Jumaat, 14 Ogos. - Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Penyampaian Surat Penghargaan dan Cenderahati kepada Ketua Kampung Kiudang dan Padnunok, Awang Rafaie bin Haji Abdul Rahman serta Ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Kiudang dan Padnunok sebagai tanda penghargaan atas kerjasama mereka dalam membantu pihak polis membanteras jenayah curi.
Penghargaan tersebut diberikan berikutan peranan aktif Pengawasan Kejiranan Kampung Kiudang dan Padnunok dalam menyalurkan maklumat yang membawa kepada kejayaan pihak polis menyelesaikan beberapa kes jenayah curi yang dilaporkan di Daerah Tutong dan Daerah Brunei dan Muara sepanjang bulan Mei, Jun dan Julai tahun ini.
Hasil siasatan, pihak polis berjaya menahan dua suspek yang kemudiannya dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman pemenjaraan pada 25 Julai 2026, masing-masing selama 8 bulan dan enam 6 bulan.
Surat Penghargaan dan cenderahati telah disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Haji Irham bin Haji Muhd. Arshad kepada Ketua Kampung Kiudang dan Padnunok sebagai wakil Pengawasan Kejiranan kampung berkenaan.
PPDB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama yang diberikan dan berharap kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada pengawasan kejiranan lain di seluruh negara untuk terus bekerjasama dengan pihak polis dalam membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.