Program iltizam tekankan kepentingan jati diri pelajar

10 Sep 2026 - 7:21am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 September. - Para pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk perbezaan sistem pembelajaran, kejutan budaya, cabaran bahasa dan komunikasi serta keperluan untuk berdikari dalam menguruskan kehidupan harian.

Selain itu, mereka turut berdepan dengan tekanan emosi seperti kerinduan terhadap keluarga, di samping pengaruh sosial yang berbeza yang boleh menguji jati diri serta pegangan akidah.

Dalam menghadapi cabaran berkenaan, penghayatan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) terus menjadi asas penting bagi memastikan para pelajar sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai ugama dan kebangsaan, di samping memainkan peranan sebagai duta kecil Negara Brunei Darussalam (NBD) di persada antarabangsa.

Sehubungan itu, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pagi tadi mengadakan Program Iltizam ‘Menanai Amanah Siri 2’ berbentuk Podcast Ilmiah bertajuk ‘Minda Sejahtera, Jati Diri Terpelihara’ bersama para pelajar baharu dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian di luar negara.

Program yang berlangsung di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) itu turut disertai secara maya oleh para pelajar di bawah Biasiswa KHEU yang sedang mengikuti pengajian di luar negara.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, KHEU, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.

Program berkenaan merupakan salah satu wadah bagi perkongsian ilmu dan pengalaman dalam menghadapi cabaran sepanjang mengikuti pengajian di luar negara, di samping memperkukuh penghayatan nilai MIB dalam kalangan pelajar NBD yang melanjutkan pengajian di luar negara, termasuk di Republik Arab Mesir, Kerajaan Hasyimiyah Jordan, United Kingdom dan Malaysia.

Program tersebut diisikan dengan sesi ‘podcast’ yang menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, Kementerian Pendidikan, Dr. Siti Salwana Syarfa binti Haji Dahlan; Pegawai Psikologi Awam, Kementerian Kesihatan, Dayang Fauziyyah Hanani binti Haji Abdul Manap; dan Dayang Alya Farhanah binti Dato Seri Paduka Dr. Haji Norarfan, Wakil Pelajar Alumni dari Republik Arab Mesir dan United Kingdom.

Sesi berkenaan dikendalikan oleh Awang Haji Mohammad Jaya bin Haji Metussin selaku moderator.

Program berkenaan dikendalikan bersama oleh Unit Biasiswa, Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa dengan Unit ICT dan Teknologi, Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Perkembangan, Jabatan Pengajian Islam.