Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 14 Ogos. - Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Pembukaan Dikir 12 Malam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang berlangsung di Balai Ibadat PPNBD.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti dengan bacaan Dikir Syarafil Anam sebagai tanda kesyukuran dan kecintaan terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Yang Dipertua PPNBD, ACP (B) Haji Abdul Murad bin Haji Abdul Hadi; dan Timbalan Yang Dipertua PPNBD, Pengiran Dr. Haji Mohamed bin Pengiran Haji Damit.
Turut hadir, Pesuruhjaya Ibu Pejabat, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Daerah, Penolong-penolong Pesuruhjaya Daerah, para pemimpin serta ahli-ahli pengakap.
Penganjuran Dikir 12 Malam berkenaan merupakan antara kegiatan keagamaan PPNBD dalam menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping memupuk kecintaan, penghayatan dan keinsafan dalam kalangan warga pengakap terhadap akhlak serta sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Majlis Dikir akan diteruskan pada malam-malam berikutnya secara bergilir-gilir dengan penglibatan para pemimpin dan ahli pengakap, sebagai sebahagian daripada usaha PPNBD untuk mengimarahkan masjid dan balai ibadat serta menggalakkan warga pengakap melibatkan diri dalam kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan.
Melalui penganjuran berkenaan, PPNBD berharap semangat cintakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan terus disemai dalam jiwa setiap warga pengakap, seterusnya diterjemahkan melalui amalan akhlak mulia, perpaduan, khidmat kepada masyarakat dan sikap saling menghormati.