Timba ilmu, perluaskan jaringan perniagaan di peringkat antarabangsa

10 Sep 2026 - 5:09am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Ihsan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 September. - Seramai tiga orang ahli Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB) berpeluang menyertai ‘Seminar on Private Enterprise Management and Development for Developing Countries’ yang berlangsung di Changsha City, Hunan Province, Republik Rakyat China, yang berlangsung dari 7 hingga 20 September 2026.

Delegasi DPPMB terdiri daripada Dayang Nurul Syafiqah binti Haji Sulaiman, Dayang Siti Khadijah binti Haji Mohd. Yusof dan Awang Mohammad Ira' Qastalani bin Haji Asrul Hamzy.

Penyertaan dalam seminar berkenaan memberikan peluang kepada para peserta untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman dalam bidang pengurusan serta pembangunan perusahaan swasta, khususnya dalam menghadapi perkembangan dan cabaran semasa dunia perniagaan.

Seminar tersebut turut menjadi platform bagi para peserta untuk memperluas jaringan perniagaan di peringkat antarabangsa, selain bertukar pandangan, idea dan pengalaman bersama wakil-wakil perniagaan serta industri dari pelbagai negara.

Penyertaan berkenaan diharap dapat memberikan manfaat kepada para peserta dalam memperkukuh keupayaan dan pengetahuan mereka, di samping membuka ruang kepada peluang kerjasama serta jaringan strategik dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Terdahulu, seramai empat orang ahli DPPMB juga turut berpeluang menyertai ‘Seminar on Optimization of the Business Environment for Chambers of Commerce and Industry in Developing Countries’ yang diadakan di Nanchang City, Jiangxi Province, Republik Rakyat China, bermula 4 hingga 24 September 2026.

Delegasi DPPMB bagi seminar berkenaan terdiri daripada Dayang Nur Almira Ufairah binti Salim, Awang Abdullah Ammar Mirza bin Pehin Dato Paduka Haji Awang Chuchu, Awang Muhammad Zaizulafiq bin Zainal Abidin dan Dayangku Nur Natashya Basyarah binti Pengiran Indra Putra.

Penyertaan tersebut memberikan peluang kepada para peserta untuk menimba ilmu dan pengetahuan berkaitan perkembangan serta pengoptimuman persekitaran perniagaan, di samping memperluas jaringan perniagaan di peringkat antarabangsa.

Para peserta juga berpeluang bertukar pandangan, idea dan pengalaman bersama wakil-wakil dewan perniagaan serta industri dari pelbagai negara.

Penyertaan dalam kedua-dua seminar berkenaan mencerminkan usaha DPPMB dalam memberikan pendedahan dan pengalaman antarabangsa kepada ahli-ahlinya, khususnya dalam memperkasa pengetahuan, meningkatkan keupayaan serta memahami perkembangan semasa dalam dunia perniagaan dan keusahawanan.

Melalui pendedahan tersebut, ahli-ahli DPPMB diharap dapat membawa pulang pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh untuk dimanfaatkan dalam memperkukuh sektor perusahaan dan perniagaan tempatan, di samping membuka peluang kepada kerjasama serta jaringan strategik pada masa akan datang.