Usaha, kesungguhan, doa rahsia kejayaan cemerlang

15 Og 2026 - 4:17am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Ihsan Awang Haji Muhammad Bilal Che’ Mat Haji Abu Samah Shukri, Dayang Wardatul Zahrah Abd. Razak, Dayang Amiratun Zawanah Shamsul Affendi, Siti Khuziyah

TUNGKU LINK, Jumaat, 14 Ogos. - Setiap kejayaan mempunyai cerita. Di sebalik segulung ijazah yang digenggam pada hari konvokesyen, tersimpan perjalanan panjang yang dihiasi pengorbanan, cabaran, air mata, kesungguhan dan doa.

Sempena Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam (UBD) Ke-38 baru-baru ini, Pelita Brunei berpeluang menelusuri kisah beberapa graduan yang membuktikan bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah, namun mampu dicapai dengan keazaman, disiplin dan sokongan insan tersayang.

Perjuangan untuk memperoleh kejayaan bukanlah satu perjalanan yang mudah. Tuntutan pengajian, tugasan, peperiksaan, penyelidikan serta komitmen terhadap pekerjaan dan keluarga perlu diseimbangkan dengan sebaiknya.

Namun, di sebalik segala cabaran berkenaan, setiap graduan mempunyai kisah tersendiri yang menjadi bukti bahawa impian yang disertai usaha dan kesungguhan akhirnya mampu membuahkan hasil.

Awang Haji Muhammad Bilal Che’ Mat bin Haji Abu Samah Shukri, graduan Ijazah Sarjana Tamadun Islam dan Isu-isu Semasa dari Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS), UBD, menyifatkan perjalanan akademiknya sebagai satu pengalaman yang sarat dengan pembelajaran dan cabaran.

Beliau memilih bidang berkenaan didorong oleh minat mendalam terhadap sejarah tamadun Islam, pemikiran Islam serta isu-isu semasa yang dihadapi masyarakat. Sementara pengurusan masa yang baik, disiplin serta sokongan keluarga menjadi antara tonggak utama yang membantunya bertahan sepanjang tempoh pengajian.

Bagaimanapun, Awang Haji Muhammad Bilal Che’ Mat mengakui bahawa terdapat ketika tertentu masa bersama keluarga terpaksa dikorbankan demi menyiapkan tugasan dan penyelidikan. Baginya, pengorbanan berkenaan merupakan sebahagian daripada perjalanan menuntut ilmu dan perlu dilalui untuk mencapai impian menggenggam segulung ijazah.

“Perjuangan memang akan terasa panjang dan sukar. Dalam perjalanan menuntut ilmu, ada masanya kita berasa letih, tertekan dan motivasi menurun. Perkara itu adalah biasa. Yang penting, jangan biarkan keadaan tersebut menentukan pengakhiran perjalanan kita,” jelasnya.

Sementara itu, kisah pemegang Ijazah Micro-Master in Occupational Health and Safety (MMOHS) di bawah Centre for Lifelong Learning (C3L), UBD, Dayang Wardatul Zahrah binti Abd. Razak pula membuktikan bahawa kesibukan dalam kerjaya dan keluarga bukan penghalang untuk kembali ke dunia akademik.

Berkecimpung dalam bidang Health, Safety and Environment (HSE) sejak 2013, keputusannya untuk melanjutkan pengajian dibuat bagi memperkukuh ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang pengalaman kerjaya, di samping mendapatkan pengiktirafan akademik dalam bidang yang diceburinya.

Sepanjang mengikuti pengajian secara sambilan selama enam tahun, Dayang Wardatul Zahrah bukan sahaja memperoleh ilmu daripada tenaga pengajar, malah mendapat pengalaman berharga melalui interaksi bersama rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang dan bidang pekerjaan.

Antara pengalaman yang paling bermakna katanya lagi, ialah peluang mengikuti kolaborasi bersama Mahidol University di Thailand, yang memberikan pendedahan mengenai pendekatan dan amalan keselamatan serta kesihatan pekerjaan di negara lain.

“Pengalaman tersebut membuka ruang untuk bertukar pandangan, membandingkan amalan dan memahami bahawa perkongsian ilmu serta pengalaman memainkan peranan penting dalam memperkukuh budaya keselamatan di tempat kerja,” katanya.

Dayang Wardatul Zahrah seterusnya mengongsikan bahawa sokongan ketua pejabat, rakan sekerja dan keluarga pula menjadi sumber kekuatan yang amat bermakna sepanjang perjalanan berkenaan.

Menurutnya lagi, komunikasi, perancangan masa dan sikap saling memahami banyak membantu dalam mengimbangi tuntutan pekerjaan, pengajian dan kehidupan keluarga.

Bagi graduan Akademi Pengajian Brunei (APB), UBD, Dayang Amiratun Zawanah binti Shamsul Affendi, pula menjelaskan kejayaan memperoleh Ijazah Kelas Pertama bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi simbol kepada segala usaha, kesungguhan dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang tempoh pengajian.

Jelasnya lagi, keinginan untuk menambah ilmu, memperkembangkan diri dan mencapai matlamat pendidikan menjadi antara dorongan utama yang menguatkan langkahnya untuk terus bertahan sehingga ke penghujung perjalanan.

“Pencapaian ini sangat bermakna kerana ia merupakan hasil daripada usaha, kesungguhan dan pengorbanan yang saya curahkan sepanjang tempoh pengajian.

“Antara cabaran terbesar yang dihadapinya ialah menguruskan masa dan memastikan komitmen terhadap pengajian dapat diberikan sepenuhnya. Ada kalanya saya berasa penat dan tertekan, namun keadaan tersebut tidak dibiarkan menjadi penghalang.

Pemegang Ijazah Kelas Pertama dan merupakan graduan APB, UBD, Dayang Amiratun Zawanah, berkata kejayaan cemerlang yang diperoleh bukan sekadar dilihat sebagai satu pencapaian akademik, tetapi menjadi simbol kepada segala usaha yang dicurahkan sepanjang tempoh pengajian.

Tambahnya lagi, keinginan untuk menambah ilmu, memperkembangkan diri dan mencapai matlamat pendidikan menjadi antara dorongan utama yang menguatkan langkahnya untuk terus bertahan sehingga ke penghujung perjalanan.

Dayang Amiratun Zawanah seterusnya menjelaskan kejayaan tidak hanya bergantung kepada usaha diri sendiri, sebaliknya turut lahir daripada doa dan sokongan insan-insan yang sentiasa percaya kepada kemampuan dirinya.

“Menariknya, pengajian di APB turut memperkayakan perspektif saya terhadap negara sendiri, khususnya dalam memahami masyarakat, budaya dan isu-isu semasa di Negara Brunei Darussalam (NBD). Pengalaman tersebut diterjemahkan melalui kajian yang memfokuskan kepada persepsi dan kesedaran mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi terhadap penggunaan plastik di NBD.

“Proses mencari, meneliti dan memilih bahan yang relevan memerlukan kesabaran serta komitmen, namun pengalaman tersebut mengajar saya untuk lebih teliti dan kritis dalam menghasilkan sesuatu kajian,” katanya lagi.

Kini, apabila segala usaha itu terbayar dengan kejayaan menggenggam segulung ijazah, Dayang Amiratun Zawanah menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar kejayaan akademik.

Jelasnya lagi, segulung ijazah pada hari ini bukan sahaja melambangkan kejayaan dalam pengajian, tetapi juga hasil daripada sokongan, pengorbanan dan doa daripada insan-insan yang sentiasa berada di belakangnya.

Pada hari yang penuh bermakna berkenaan katanya lagi, penghargaan paling istimewa ditujukan kepada ibu bapa dan adik-beradiknya yang selama ini menjadi tonggak kuat dengan memberikan sokongan, dorongan dan doa yang tidak pernah putus.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengurniaan biasiswa yang memberikan peluang dan kemudahan untuk melanjutkan pengajian, selain kepada para pensyarah UBD atas segala ilmu, tunjuk ajar dan bimbingan yang dicurahkan.

Sementara itu kisah Siti Khuziyah, seorang bidan berdaftar dan pensyarah Program Kebidanan di Universitas Muhammadiyah Pekajangan Pekalongan, Jawa Tengah, Republik Indonesia, memperlihatkan satu lagi sisi perjuangan seorang wanita dalam mengejar impian akademik sambil memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Ibu kepada tiga orang anak perempuan berkenaan berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Program Kebidanan, Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah Institute of Health Sciences (PAPRSB IHS), UBD, dengan pangkat cemerlang (distinction).

Sepanjang tempoh pengajian, Dayang Siti Khuziyah turut berjaya menghasilkan lebih daripada 13 penerbitan dalam jurnal berindeks Scopus berimpak tinggi serta bab buku, sama ada sebagai penulis utama mahupun bersama pasukan penyelidik.

Beliau turut membina jaringan kerjasama antarabangsa yang merentasi Asia, Afrika dan Eropah, sekali gus memperluaskan pengalaman serta sumbangannya dalam komuniti akademik global. Usaha dan pencapaiannya turut mendapat pengiktirafan dalam beberapa persidangan akademik, antaranya dinobatkan sebagai Top Ten Presenter dalam Nursing and Midwifery Conference Brunei 2023, meraih tempat kedua bagi Poster Presenter dalam Brunei NCD Conference 2025 serta menerima pengiktirafan sebagai Best Excellent Presenter dalam Japan Women Conference 2026.

Namun, di sebalik pencapaian berkenaan, perjalanan PhD bukanlah tanpa cabaran. Sokongan suami menjadi antara kekuatan utama dalam menghadapi cabaran berkenaan. Suaminya yang turut mengikuti pengajian peringkat sarjana di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), membolehkan mereka saling memberikan sokongan, khususnya dalam mengimbangi masa bersama keluarga.

Pada masa yang sama, beliau perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran akademik, sosial dan budaya yang berbeza daripada negara asalnya. Cabaran menjadi lebih kompleks apabila kajiannya menyentuh isu tertentu dan pada awalnya melibatkan golongan remaja sebagai peserta kajian.

Namun, keadaan berkenaan tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan penyelidikan. Dengan bimbingan penyelia, beliau mengambil pendekatan alternatif dengan menukar kumpulan peserta kajian daripada golongan remaja kepada profesional kesihatan maternal.

Daripada pengalaman tersebut, Siti Khuziyah menyedari bahawa cabaran yang dihadapi sepanjang pengajian tidak semestinya menjadi penghalang kepada kejayaan. Sebaliknya, cabaran mampu membuka ruang untuk seseorang belajar menyesuaikan diri, berfikir secara kreatif dan mencari penyelesaian terbaik.