WASHINGTON, 25 Okt. - Sekurang-kurangnya 12 orang, termasuk enam individu bawah umur, cedera dalam kejadian tembak berhampiran stadium universiti di negeri Florida, Amerika Syarikat (AS) pada malam Sabtu, lapor Anadolu Ajansi, memetik polis.
Ketua Polis Tallahassee Lawrence Revell memberitahu pemberita pada sidang akhbar lewat malam, 11 orang mengalami luka tembak berhampiran Stadium Memorial Bragg Universiti A&M Florida.
Mangsa ke-12, iaitu nenek kepada salah seorang daripada mereka yang ditembak, cedera ketika melarikan diri dari tempat kejadian, katanya.
Enam daripada mangsa ialah orang dewasa dan enam di bawah umur, dengan yang paling muda berusia 11 tahun.
"Sekurang-kurangnya tiga daripada mangsa mengalami kecederaan serius dan seorang daripada mereka dalam keadaan kritikal," kata Revell sambil menambah lapan lagi berada dalam keadaan stabil.
Maklumat awal menunjukkan perbalahan telah berlaku antara individu, katanya sambil menambah siasatan sedang dijalankan.
Kejadian itu berlaku sejurus selepas perlawanan ragbi, mendorong tindak balas polis, menurut akhbar tempatan Tallahassee Democrat.
Florida A&M mengeluarkan amaran keselamatan sekitar 8.40 malam waktu tempatan, menggesa orang ramai berhampiran stadium untuk berlindung atau mengelak kawasan itu.
Menurut pihak berkuasa, lokasi kejadian telah dikawal pada lewat petang, lapor akhbar itu.
Florida State University turut menasihati pelajar, fakulti dan kakitangan di seluruh Tallahassee supaya kekal di dalam rumah sebagai langkah berjaga-jaga, dengan mengatakan tiada tanda bahawa ahli komunitinya terlibat. - ©BERNAMA