HANOI, 15 Nov. - Enam anggota tentera Vietnam maut selepas kenderaan tempur infantri buatan Soviet yang dinaiki mereka tenggelam ketika menjalani latihan ketenteraan di wilayah Bac Ninh, utara negara itu, menurut Kementerian Pertahanan Negara pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kemalangan itu berlaku kira-kira 8.25 pagi (0125 GMT) pada Khamis di Lapang Sasar Kebangsaan TB1 di Komun Bien Son.
Menurut kementerian itu, kenderaan berperisai BMP-1 buatan Soviet milik Rejimen Ke-102, Divisyen Ke-308, Kor Tentera Ke-12 mengalami masalah ketika menjalani latihan kesiapsiagaan tempur sebelum tenggelam, mengorbankan kesemua enam kru di dalamnya.
Tiada maklumat lanjut mengenai punca kemalangan itu diperoleh setakat ini. Anggota tentera yang terkorban dianugerahkan pingat penghormatan selepas kematian mereka. BMP-1 ialah kenderaan tempur infantri yang diperkenalkan oleh Kesatuan Soviet pada 1960-an.
Kenderaan itu direka dengan keupayaan amfibia, membolehkannya merentasi sungai dan halangan air lain dengan menggunakan rantai runut sebagai sistem pendorong di dalam air.
Kenyataan kementerian itu tidak menyatakan sama ada kenderaan berkenaan sedang menyeberangi sungai, beroperasi di tasik atau digunakan untuk latihan dalam persekitaran lain. Kementerian itu juga tidak menjelaskan punca kenderaan berkenaan tenggelam.
Kenderaan amfibia boleh tenggelam jika air memasuki badan kenderaan, contohnya akibat kerosakan pada pengedap atau kegagalan sistem yang digunakan untuk merentasi kawasan berair.
Insiden itu boleh menimbulkan persoalan lebih luas mengenai kebergantungan berterusan Vietnam terhadap peralatan ketenteraan lama, khususnya dari segi usia, penyelenggaraan dan kesiapsiagaan operasi armada kenderaan berperisainya.
Tiada maklumat segera mengenai usia kenderaan yang tenggelam itu atau sama ada masalah berkaitan keadaannya menyumbang kepada kemalangan berkenaan. - ©BERNAMA