Dua pakar kesihatan Republik Rakyat China berlepas ke Uganda bantu tangani wabak Ebola

16 Jul 2026 - 11:08am

BEIJING, 15 Julai. - Dua pakar kesihatan awam Republik Rakyat China yang terpilih sebagai anggota Kumpulan Penyokong Pengurusan Kecemasan (IMST) berlepas ke Uganda pada pagi Rabu bagi membantu usaha antarabangsa membendung dan mengawal penularan wabak Ebola.

Menurut Jabatan Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan (NDCPA) China, kedua-dua pakar itu dipilih dan dihantar oleh jabatan berkenaan atas undangan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang merupakan penganjur IMST.

NDCPA memaklumkan kedua-dua pakar itu mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan operasi di lapangan ketika berdepan wabak yang serius serta melaksanakan kerjasama kesihatan awam di peringkat antarabangsa.

Setibanya di Uganda, mereka akan menyertai kumpulan kerja di bawah IMST bersama pakar dari pelbagai negara untuk membincangkan dan menilai situasi penularan Ebola, menggubal pelan kawalan dan pencegahan selain menyelaras tindakan kecemasan di kawasan yang terjejas. - ©BERNAMA