TOKYO, 15 Julai. - East Japan Railway Co. akan mula mengendalikan kereta api hibrid hidrogen pertama Jepun di beberapa laluan pada penghujung tahun kewangan 2027, menurut syarikat itu pada Selasa, lapor Kyodo News.
Dilengkapi sel bahan api dan bateri simpanan, kereta api 'Hybari' digerakkan menggunakan tenaga elektrik yang dijana melalui tindak balas kimia antara hidrogen dan oksigen tanpa menghasilkan pelepasan karbon dioksida.
Kereta api itu mampu bergerak kira-kira 70 kilometer dengan sekali pengisian hidrogen.
JR East memaklumkan kereta api berkenaan akan beroperasi di laluan Tsurumi dan Nambu di wilayah Kanagawa berhampiran Tokyo, manakala butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
Syarikat itu menjalankan ujian prestasi dan kestabilan operasi kereta api berkenaan sejak 2022 sebagai sebahagian daripada usahanya meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida. - ©BERNAMA