Kemboja perbaharui pertumbuhan ekonomi dengan industri kecil, pertanian pintar

25 Okt 2026 - 7:30am

PHNOM PENH, 25 Okt. - Kemboja memberi keutamaan pada industri pembuatan kecil dan pertanian berimpak tinggi untuk memacu fasa pertumbuhan seterusnya susulan kelembapan ekonomi dan masalah yang semakin meningkat menimbulkan cabaran terhadap ekonomi.

Pelancongan yang lemah, peningkatan kos bahan api dan risiko iklim menjejaskan pertumbuhan manakala peningkatan pendapatan dan lonjakan permintaan domestik untuk makanan menekan sektor perladangan, memaksa kerajaan untuk mengatur semula strateginya.

“Kemboja mesti berubah daripada pengeluar komoditi pertanian mentah kepada hab pemprosesan makanan pertanian yang berkualiti, selamat dan berteknologi maju,” kata Menteri Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Hem Vanndy pada ‘Forum dan Pameran Pertanian Kemboja 2026’ pada Sabtu.

Beliau berkata eksport pertanian kekal didominasi oleh produk mentah atau separuh diproses, menjana nilai tambah terhad dan menyebabkan pengeluar terdedah kepada turun naik harga antarabangsa.

Pelbagai faktor, termasuk penurunan dalam hasil pelancongan, harga diesel dan petrol yang tinggi, ketegangan geopolitik, penutupan sempadan Kemboja-Thailand berikutan pertikaian wilayah dan pengurangan perbelanjaan isi rumah, menghalang prospek pertumbuhan tahun ini.

Bank Dunia pada Oktober menurunkan pertumbuhan ekonomi Kemboja kepada 3.5 peratus untuk 2026 daripada ramalan awal 3.9 peratus pada April.

Minggu lepas Perdana Menteri Kemboja Hun Manet melancarkan ‘Strategi Nasional untuk Pembangunan MSME 2026-2030’ untuk mengemudi sektor yang kekal sebagai tulang belakang ekonomi.

“Kerajaan mengutamakan pembangunan MSME (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) melalui keadaan perniagaan yang lebih baik, peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi, akses kepada kewangan dan pembangunan kemahiran ketika Kemboja bersiap sedia untuk beralih daripada status Negara Kurang Maju (LDC) menjelang akhir 2029,” kata Hun Manet Khamis lepas, seperti yang dilaporkan oleh media kerajaan Agence Kampuchea Presse.

Sektor MSME menyumbang kira-kira 63 peratus daripada keluaran dalam negara (KDNK), menyediakan lebih 70 peratus pekerjaan bukan pertanian.

Kira-kira 750,000 PKS menggaji hampir tiga juta pekerja, termasuk 1.8 juta wanita, menurut Banci Ekonomi 2022, lapor media kerajaan.

“Sememangnya PKS ialah tulang belakang ekonomi negara dan rakan kongsi utama kerajaan dalam mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan isi rumah, menggalakkan pengeluaran domestik dan mengukuhkan daya tahan ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun sektor itu masih dibebani dengan modal yang terhad, kapasiti teknikal, akses pasaran, persaingan, kos pengeluaran yang tinggi dan prosedur birokrasi, kata perdana menteri.

Sektor pertanian adalah sama penting, menyumbang kira-kira 16 peratus daripada KDNK dan menggaji lebih tiga juta pekerja. 

Selepas beralih daripada status LDC pada 2029, Kemboja boleh kehilangan beberapa faedah perdagangan utama, mendedahkan eksport utama termasuk pakaian, beras dan produk pertanian lain, kepada tarif yang lebih tinggi dan peraturan asal yang lebih ketat di pasaran utama.

Kerajaan Kemboja sedang memperkukuh infrastruktur, mempromosikan teknologi pengeringan, penyimpanan sejuk dan pembungkusan termaju, dan mengutamakan pembangunan kluster agroindustri untuk memacu lagi sektor berkenaan.

Terdapat juga tumpuan untuk memanfaatkan teknologi ladang moden, termasuk traktor pintar dan dron untuk aplikasi baja.

Kira-kira 400 peserta pameran mengambil bahagian dalam pameran itu, yang berlangsung dari 23 hingga 25 Okt di Pusat Konvensyen dan Pameran Diamond Island di Phnom Penh. - ©BERNAMA