TOKYO, 9 Sept. - Kerajaan Jepun akan memperkukuh langkah bantuan bagi menangani isu penumpang terkandas akibat hujan lebat, susulan beberapa bencana alam baru-baru ini termasuk hujan luar biasa yang melanda bahagian tengah negara itu, kata Ketua Setiausaha Kabinet Minoru Kihara pada Rabu, lapor Kyodo News.
Kenyataan jurucakap utama kerajaan itu dibuat ketika Jepun semakin memberi perhatian terhadap masalah orang ramai yang terkandas dan tidak dapat pulang menggunakan kereta api atau pengangkutan lain selepas berlaku bencana, khususnya sejak gempa bumi dahsyat pada Mac 2011.
“Beberapa kejadian berlaku yang menyebabkan orang ramai terkandas, termasuk hujan lebat di Wilayah Chiba, timur Tokyo,” kata Kihara.
Beliau berkata kerajaan akan mengkaji langkah yang perlu dilaksanakan pada masa depan berdasarkan pengajaran daripada kejadian berkenaan.
Ketika banyak kawasan di Jepun baru-baru ini dilanda hujan lebat, Kihara menegaskan bahawa sektor awam dan swasta akan terus bekerjasama bagi menyediakan kemudahan untuk menempatkan orang ramai yang terkandas. - ©BERNAMA