Seorang maut, dua hilang, bot terbalik di Teluk San Francisco

16 Jul 2026 - 11:08am

SAN FRANCISCO, 15 Julai. - Seorang terbunuh dan dua lagi masih hilang selepas bot rekreasi jenin pontun yang membawa 19 orang terbalik dan karam di Teluk San Francisco pada petang Selasa, kata pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

Sebanyak 16 orang diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat membabitkan Jabatan Bomba San Francisco, Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) dan agensi lain, kata pegawai pada taklimat akhbar.

Jabatan Bomba San Francisco menerima panggilan kecemasan sejurus selepas 3.30 petang waktu tempatan (2230 GMT).

Operasi mencari dua orang yang hilang diteruskan. Punca kejadian yang berlaku berhampiran Pulau Alcatraz itu tidak diketahui serta-merta.

Kejadian tersebut pada mulanya dilaporkan sebagai kebakaran. Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata tiada bukti bahawa kebakaran telah berlaku di atas kapal itu. - ©BERNAMA