Sri Lanka kerah unit tentera lindungi gajah liar

25 Okt 2026 - 7:31am

ISLAMABAD, 25 Okt. - Sri Lanka memutuskan untuk mengerah unit tentera bagi melindungi gajah liar dan haiwan bergading, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik laporan media tempatan pada Sabtu.

Kerajaan meluluskan operasi khas melibatkan tiga angkatan tentera negara dan jabatan pemuliharaan hidupan liar untuk melindungi gajah liar dan haiwan bergading dalam menangani konflik manusia-gajah, menurut laman berita tempatan News Wire.

Inisiatif itu telah dibincangkan pada mesyuarat awal minggu ini yang dipengerusikan Menteri Alam Sekitar Dhammika Patabendi dan dihadiri komander tentera Lt Jeneral K V Nilantha P Premaratne, pegawai hidupan liar dan wakil operasi dron.

Di bawah program itu, pusat operasi khas akan diwujudkan di ibu pejabat tentera bagi menyelaras aktiviti perlindungan gajah.

Pihak berkuasa juga memutuskan untuk memperkenalkan pengaturan keselamatan khas untuk haiwan bergading yang dikenal pasti berkeliaran di kawasan berisiko tinggi.

Tentera akan mengerahkan unit khusus untuk memantau pergerakan mereka dan memberikan perlindungan di lokasi yang terdedah, terutamanya di mana gajah menghadapi ancaman daripada aktiviti haram.

Program berkenaan juga akan menumpukan pada pencegahan pembunuhan gajah, penggunaan umpan letupan yang dikenali sebagai ‘hakka patas’, dan jenayah hidupan liar yang lain.

Jabatan hidupan liar akan melatih anggota tentera yang dipilih untuk mengendalikan haiwan liar dan menjalankan operasi lapangan.

Menurut Kementerian Alam Sekitar, program bersama itu akan dilaksanakan di lapangan ‘secepat mungkin’. - ©BERNAMA