SAKIT merupakan sebahagian daripada lumrah kehidupan yang tidak dapat dihindari. Ia adalah satu bentuk ujian yang menimpa seseorang sehingga menyebabkan tubuh badan menjadi lemah, tidak sihat atau uzur. Di sebalik penderitaan yang dialami, sakit sebenarnya merupakan ujian yang menguji keimanan, kesabaran dan ketabahan seseorang hamba dalam menghadapi ketentuan Allah Subhanahu Wata'ala.
Ketahuilah, bahawa setiap ujian yang Allah turunkan pasti mengandungi hikmah dan kebaikan. Bagi mereka yang reda, sabar dan tabah menghadapi penyakit, Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan ganjaran pahala dan pengampunan dosa. Ujian sakit juga menjadi peringatan agar kita tidak lalai daripada melaksanakan suruhan Allah Subhanahu Wata'ala dan meninggalkan larangan-Nya. Melalui ujian ini, hati menjadi lebih dekat kepada Allah, sentiasa mengingati-Nya serta meningkatkan ketaatan kepada-Nya.
Selain itu, kesakitan juga mengajar seseorang untuk lebih menghargai nikmat kesihatan yang selama ini dipandang ringan. Sesungguhnya nikmat sihat dan kelapangan merupakan dua nikmat yang sering diabaikan, sehingga seseorang diuji dengan kesakitan atau kesibukan. Pada saat itu barulah disedari betapa besarnya nikmat yang dikurniakan Allah sebelum ini.
Apabila diuji dengan penyakit sama ada ringan mahupun kronik, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah muhasabah diri. Renungi segala kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan, seterusnya menyesali segala keterlanjuran, bertaubat dengan sebenar-benar taubat serta berazam untuk tidak mengulanginya lagi.
Dalam menghadapi ujian ini, kita hendaklah bersabar dan menerimanya dengan reda tanpa sebarang keluhan mahupun rintihan. Jangan sekali-kali mempersoalkan atau menyalahkan ketentuan dan ketetapan Allah Subhanahu Wata'ala kerana hanya Dia yang Maha Mengetahui rahsia dan hikmah di sebalik ujian yang dikurniakan-Nya.
Di samping itu, Islam mengajar kita agar berikhtiar mendapatkan kesembuhan melalui amalan-amalan yang dianjurkan syarak. Antaranya ialah memperbanyakkan membaca dan menghayati ayat-ayat Al-Quran, berselawat, berzikir serta berdoa memohon kesembuhan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya Al-Quran merupakan petunjuk, rahmat dan penawar bagi hati serta jasmani orang-orang yang beriman. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Israa', ayat 82, yang terjemahan makna ayatnya :
''Dan Kami menurunkan daripada Al-Quran suatu penawar (bagi penyakit rohani dan jasmani) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim (orang kafir) selain kerugian''.
Selain berubat dengan ayat-ayat Al-Quran, Islam juga ada mengajar kaedah perubatan yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam termasuk menjaga pemakanan yang baik dan berkhasiat seperti memakan kurma, minum air Zamzam, madu serta makanan halal lagi baik yang memberi manfaat kepada tubuh badan.
Sesungguhnya sakit adalah suatu bentuk tarbiah daripada Allah Subhanahu Wata'ala untuk menguji keimanan hamba-Nya. Oleh itu, jadikanlah setiap ujian sebagai ruang untuk memperbaiki diri, memperkukuhkan kesabaran dan mendekatkan diri kepada Allah. Di samping berusaha mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Teruskan berdoa memohon kesembuhan daripada-Nya. Semoga dengan kesabaran dan keredaan serta keikhlasan dalam menghadapi ujian ini, Allah akan mengurniakan hikmah-Nya dengan menggugurkan dosa-dosa kita serta mengurniakan kesembuhan dan rahmat-Nya. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Asy-Syu'araa', ayat 80, yang terjemahan makna ayatnya :
''Tuhan yang menciptakan aku maka Dialah yang mengurniakan hidayah kepadaku. Dan Dialah yang mengurniakan aku makan dan minum. Dan jika aku sakit maka Dialah yang menyembuhkan aku''.