Oleh : Pg: Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
JERUDONG, Ahad, 11 Oktober. - Seramai 150 peserta menyertai program Ride for Hope 0.3 anjuran The Moto and Gincu (TMG) dengan kerjasama BMW Motorrad Brunei yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kanser dan kesihatan wanita, di samping menyemai semangat keprihatinan dan sokongan terhadap golongan yang memerlukan.
Program yang membawa tema 'Every Journey Is a Story Worth Telling' itu dimulakan dengan ketibaan para peserta di The Garden, Jerudong Park, diikuti dengan bacaan doa, ucapan alu-aluan daripada pihak penganjur dan ucapan tetamu kehormat.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif.
Dalam ucapannya, tetamu kehormat mengucapkan tahniah kepada TMG atas penganjuran Ride for Hope buat kali ketiga yang telah berkembang daripada sekadar aktiviti berkonvoi motosikal kepada satu inisiatif bermakna dalam menghimpunkan penunggang motosikal, keluarga, pihak perniagaan, organisasi dan masyarakat bagi menjayakan tujuan bersama.
Beliau turut menyifatkan tema program pada tahun ini sebagai amat bermakna kerana setiap individu mempunyai perjalanan dan kisah kehidupan tersendiri, sama ada berkaitan keberanian, cabaran, kehilangan mahupun harapan.
Melalui program berkenaan, kisah-kisah tersebut disatukan bagi mengingatkan masyarakat tentang pentingnya saling menyokong, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai kanser dan kesihatan wanita.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha mempromosikan gaya hidup sihat, pengesanan awal serta peningkatan kesedaran mengenai pelbagai isu kesihatan. Sehubungan itu, inisiatif seumpama Ride for Hope memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej kesihatan kepada masyarakat secara lebih meluas.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada TMG, para penaja, rakan kerjasama, sukarelawan, marshal dan semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam menjayakan program berkenaan.
Sementara itu, Presiden TMG, Dayang Fadhlina binti Ahmad, dalam ucapannya menegaskan bahawa Ride for Hope bukan sekadar mengenai motosikal atau aktiviti menunggang, malah membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat untuk turut serta dalam menyokong tujuan program berkenaan.
Menurutnya, orang ramai tidak semestinya menjadi penunggang motosikal untuk mengambil bahagian, sebaliknya boleh memberikan sokongan melalui sumbangan, perkongsian kisah mahupun dengan sekadar hadir memeriahkan program.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama, penaja, penunggang motosikal, marshal, sukarelawan, penyokong serta keluarga TMG yang terus memberikan sokongan dari tahun ke tahun di sebalik kesibukan masing-masing.
Dayang Fadhlina berharap agar penganjuran Ride for Hope pada tahun ini bukanlah yang terakhir kerana masih banyak kisah yang perlu dikongsikan, wanita yang perlu disokong dan harapan yang perlu diteruskan.
Tambahnya, program tersebut didedikasikan kepada mereka yang masih berjuang melawan penyakit, mereka yang telah pergi meninggalkan kenangan serta setiap insan yang mempunyai kisah kehidupan yang wajar diteruskan.
Antara pengisian program ialah penyerahan cek replika kepada Tabung Amal Bantuan Pesakit (TABP).
Acara diteruskan dengan taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Ketua Marshal daripada KB Bikerz sebelum para peserta bergambar ramai dan memulakan konvoi dari The Garden, Jerudong Park menuju ke Supa Save, Seria.
Setibanya di destinasi, para peserta mengadakan sesi bergambar di hadapan latar program Ride for Hope 0.3, diikuti dengan penyampaian penghargaan, cabutan bertuah dan jamuan makan tengah hari.
Program berkenaan diakhiri dengan sesi santai sebelum para peserta bersurai dan meneruskan perjalanan pulang dengan selamat.
Penganjuran Ride for Hope 0.3 diharap akan terus menyemarakkan semangat kebersamaan, meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan serta menggalakkan sokongan berterusan terhadap pesakit yang memerlukan bantuan.