Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 11 Oktober. - Kejohanan Dart Kementerian Kesihatan Piala Pusingan Yang Berhormat Menteri Kesihatan Tahun 2026 melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan piala pusingan kepada para pemenang.
Kejohanan anjuran Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Kesihatan itu berlangsung selama tiga hari, bermula 9 hingga 11 Oktober 2026, dengan mempertandingkan dua kategori, iaitu beregu dan perseorangan, disertai oleh pegawai dan kakitangan dari pelbagai jabatan dan bahagian di bawah Kementerian Kesihatan.
Majlis turut diserikan dengan perlawanan persembahan beregu antara pasukan Yang Berhormat Menteri Kesihatan dengan pasukan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan.
Bagi kategori beregu, pasukan 'Radiology Darters' dari Jabatan Radiologi Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) muncul sebagai johan dan membawa pulang Piala Pusingan Yang Berhormat Menteri Kesihatan, selain menerima trofi, pingat dan sijil penyertaan.
Naib johan kategori berkenaan disandang oleh pasukan 'The Power' dari Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, yang turut menerima trofi, pingat dan sijil penyertaan.
Sementara itu, kategori perseorangan menyaksikan Awang Damit bin Haji Kula dari Hospital RIPAS muncul sebagai johan, manakala Awang Redzuan bin Masli juga dari Hospital RIPAS menyandang naib johan. Kedua-dua pemenang menerima trofi, pingat dan sijil penyertaan.
Penganjuran kejohanan berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan, di samping mencungkil bakat baharu dalam sukan dart.
Ia juga menjadi wadah bagi menggalakkan warga kementerian menyertai aktiviti riadah yang sihat, memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh kerjasama dan semangat berpasukan.