34 peserta tamatkan Bengkel Urutan Tradisional Melayu

22 Okt 2026 - 5:06am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Ihsan Dayang Hajah Linda Aini Abdullah

 

KIULAP, Rabu, 21 Oktober. - Seramai 34 peserta berjaya menamatkan Bengkel Urutan Tradisional Melayu Tahap 2 dan 3 bagi Tahun 2026 dalam Majlis Penyampaian Sijil yang dianjurkan oleh Establismen Rawatan Kesihatan dan Kecantikan (EKK) Waty Armeyza, Al-Fitrah Sehat Care dan Afdal Training and Consultancy.

Majlis berlangsung di salah sebuah hotel di Kiulap dan dihadiri oleh Pengiran Datin Hajah Masrelawati @ Khadijah binti Pengiran Haji Md. Said selaku tetamu kehormat yang seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta.

Pengurus EKK Waty Armeyza, Dayang Latifah binti Abd. Razak, dalam ucapannya menjelaskan bahawa majlis berkenaan bukan sekadar meraikan pencapaian peserta melalui penyampaian sijil, malah turut melambangkan usaha, pengorbanan, kesungguhan, semangat dan azam mereka dalam memartabatkan seni urutan tradisional Melayu Brunei.

Usaha tersebut diharap akan memastikan seni warisan berkenaan terus dikenali, dipelajari dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Beliau turut menegaskan bahawa sijil yang diperoleh merupakan refleksi kepada usaha, disiplin, kesungguhan dan komitmen para peserta sepanjang menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, seseorang pengamal urutan yang baik bukan sahaja dinilai berdasarkan kemahiran tangan, malah turut dinilai dari segi sikap, akhlak, kebersihan, pengetahuan serta tanggungjawab terhadap individu yang menerima rawatan.

Dengan ilmu dan kemahiran yang diperoleh, beliau berharap para peserta akan dapat memanfaatkan peluang yang tersedia untuk menjana pendapatan, sama ada dengan membuka pusat rawatan sendiri, menawarkan perkhidmatan spa dari rumah ke rumah mahupun berkhidmat di spa atau pusat rawatan urutan di negara ini.

Bengkel Urutan Tradisional Melayu Tahap 2 dan 3 berkenaan merupakan kesinambungan dari Bengkel Asas Tahap 1 yang memberikan peluang kepada para peserta untuk memperluas pengetahuan serta mempertingkatkan kemahiran dalam seni urutan tradisional Melayu.

Antara yang menarik perhatian ialah Dayang Arissa Insyirah binti Haji Irwan Nazmi, peserta termuda bengkel berkenaan yang berusia 17 tahun.

Penyertaan beliau diharap dapat menjadi inspirasi kepada golongan belia untuk mendalami kemahiran dalam bidang urutan tradisional Melayu sekali gus memastikan seni warisan tersebut terus dipelihara dan tidak pupus ditelan zaman.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah, cenderahati dan wang tunai kepada tiga peserta terbaik berdasarkan pencapaian dalam aspek teori dan praktikal.