3,537 sertai Majlis Sambutan Maulud Nabi Peringkat Daerah Tutong

26 Og 2026 - 6:57am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

TUTONG, Selasa, 25 Ogos. - Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Daerah Tutong diadakan di kawasan lapang Kompleks  Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, di sini.

Hadir selaku tetamu khas majlis, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan tazkirah yang disampaikan oleh Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang dari Bahagian Penyebaran Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Selepas itu, diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban beramai-ramai dari Bahagian Pengajian Islam yang diketuai oleh Awang Sirajul Aidil bin Haji Mohd. Yusof.

Manakala bacaan Sayiddul Istighfar dan Doa Selamat diketuai oleh Imam Tingkat III, Awang Mohd. Azim Shah bin Abdul Rahman.

Kemudian laungan selawat diketuai oleh Imam Tingkat III, Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel Kiudang, Awang Abdul Raqib bin Haji Awang.

Seterusnya perarakan bermula dengan didahului oleh tetamu khas majlis bersama Ahli Jawatankuasa Kerja Sambutan Peringkat Daerah Tutong dan diiringi dengan selawat oleh Kumpulan Dikir sejauh 1.4 kilometer.

Perarakan berakhir dan berkumpul semula di kawasan lapang berhadapan Kompleks  Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Para peserta yang menyertai Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Daerah Tutong adalah sebanyak 36 pasukan.

Peserta terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa seramai 100 ahli, pasukan beruniform seramai 1,478 orang, manakala daripada jabatan-jabatan kerajaan seramai 320 orang, sekolah-sekolah seramai 125 orang, masjid-masjid Daerah Tutong seramai 1,399 orang dan persatuan-persatuan dan sektor swasta seramai 115 orang dengan jumlah keseluruhan peserta seramai 3,537 orang.