388 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen UBD Ke-38

12 Og 2026 - 9:07am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Hernie Suliana Haji Othman, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

TUNGKU LINK, Selasa, 11 Ogos. - Seramai 388 graduan Universiti Brunei Darussalam (UBD) menerima ijazah dan sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen UBD Ke-38 Tahun 2026, yang berlangsung petang tadi.

Berkenan berangkat ke majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor UBD.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah di Dewan Canselor UBD dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; dan Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle.

Sejurus Duli Yang Teramat Mulia berada di atas pentas, Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dimainkan oleh Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Pada majlis berkenaan,  Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan pengurniaan Ijazah Sarjana kepada 304 graduan, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan kepada 31 graduan, Ijazah Sarjana Muda Sains Digital kepada 38 graduan, Ijazah Micro-Master dalam Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kepada lima graduan, dan Diploma dalam Pendidikan Inklusif kepada 10 graduan.

Para penerima ijazah pada tahun ini terdiri daripada para graduan dalam pelbagai bidang jurusan, iaitu Ijazah Sarjana Sastera (Pengajian Brunei), Ijazah Sarjana dalam Kaunseling, Ijazah Sarjana Pendidikan, Ijazah Sarjana Pengajaran, Ijazah Sarjana Sastera (Seni), Ijazah Sarjana Sastera (Bahasa Inggeris dan Linguistik), Ijazah Sarjana Sastera (Kesusasteraan Inggeris), Ijazah Sarjana Sastera (Geografi), Ijazah Sarjana Sastera (Bahasa Melayu dan Linguistik), Ijazah Sarjana Sastera (Kesusasteraan Melayu), Ijazah Sarjana Sastera (Komunikasi Profesional dan Media), Ijazah Sarjana Sastera (Sosiologi), Ijazah Sarjana Pengurusan, Ijazah Sarjana dalam Ekonomi Terapan, Ijazah Sarjana Kewangan Islam dan Ijazah Sarjana Pengurusan.

Para penerima juga terdiri daripada graduan dalam bidang Ijazah Sarjana Sains (Biodiversiti), Ijazah Sarjana Sains (Biologi), Ijazah Sarjana Sains (Bioteknologi), Ijazah Sarjana Sains (Kimia), Ijazah Sarjana Sains (Geosains), Ijazah Sarjana Sains (Matematik), Ijazah Sarjana Sains Kesihatan (Sains Bioperubatan), Ijazah Sarjana Sains Kesihatan (Sains Klinikal), Ijazah Sarjana Sains Kesihatan (Perbidanan), Ijazah Sarjana Sains Kesihatan (Kejururawatan), Ijazah Sarjana Kesihatan Awam Digital, Ijazah Sarjana Perubatan dan Ijazah Sarjana Kesihatan Awam.

Seterusnya, Ijazah Sarjana Kejuruteraan (Kejuruteraan Sistem), Ijazah Sarjana Sastera (Tamadun Islam dan Isu-isu Kontemporari), Ijazah Sarjana Dasar Awam dan Pengurusan, Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan dan Keselamatan, Ijazah Sarjana dalam Pengajian Asia, Ijazah Sarjana Sains Digital (Kecerdasan Buatan), Ijazah Sarjana Sains Digital (Sains Komputer), Ijazah Sarjana Kerajaan, Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan dan Keselamatan, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Ijazah Sarjana Muda Sains Digital, Ijazah Sarjana-Mikro Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, serta Diploma dalam Pendidikan Inklusif.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.

Majlis konvokesyen pada tahun ini menyaksikan kumpulan pertama graduan bagi program Sarjana Muda Sains Digital dalam Kecerdasan Buatan (AI) dan Robotik.

Program Ijazah Sarjana Muda selama tiga tahun berkenaan membekalkan para pelajar dengan pemahaman mengenai sifat multidisiplin AI dan robotik, termasuk bidang elektronik, mekanikal dan pengkomputeran serta pengkomputeran fizikal bagi sistem pintar dan Internet of Things (IoT).

Program AI dan Robotik di Sekolah Sains Digital (SDS) merupakan program antara disiplin yang berorientasikan masa depan bagi melahirkan generasi teknologis yang berupaya membangunkan sistem pintar dalam dunia yang semakin berteraskan digital.

Program berkenaan menggabungkan asas kukuh dalam sains komputer, AI, pembelajaran mesin, robotik, sistem terbenam dan teknologi berasaskan data, di samping menawarkan kurikulum yang mengimbangi ketelitian teori dengan pengalaman praktikal yang meluas.

Para pelajar didedahkan kepada pengaturcaraan, reka bentuk sistem pintar dan pembelajaran berasaskan projek melalui makmal berteknologi terkini, termasuk menangani cabaran dunia sebenar seperti navigasi autonomi, interaksi manusia-robot dan analisis data pintar.

UBD juga meraikan kumpulan pertama graduan Micro-Master dalam Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, yang ditawarkan secara bersama oleh Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L) dan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB IHS).

Program berkenaan bertujuan melengkapkan para pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran asas dalam kesihatan pekerjaan serta kesihatan dan keselamatan alam sekitar, di samping kompetensi yang berkaitan bagi melaksanakan program untuk menggalakkan persekitaran tempat kerja yang sihat.