Ekspo Penjara Se-Borneo 2026 ketengahkan kreativiti, kemahiran penghuni

17 Okt 2026 - 6:33am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 16 Oktober. - Jabatan Penjara dan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JB BSB) dengan kerjasama AIZ Event Management selaku pengendali acara menganjurkan Ekspo Produk Penjara Se-Borneo, yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 18 Oktober 2026, bertempat di kawasan lapang Dermaga Diraja, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan Rasmi Ekspo berkenaan, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Perundangan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Hajah Nor Hamidah binti Haji Hamidon.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Penjara dan Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan selaku Pengerusi Bersama Majlis dan ketua-ketua jabatan di KHEDN.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Guru Ugama Institusi Penjara Maraburong Fasa III, Jabatan Penjara, Awang Muhd. Yusri bin Othman.

Acara diteruskan dengan tayangan video mengenai Program Pemerkasaan Pemulihan Jabatan Penjara, yang memaparkan pelbagai inisiatif dan usaha yang dilaksanakan dalam memperkasa program pemulihan, pembangunan kemahiran serta persediaan para penghuni untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

Majlis diteruskan dengan perasmian Ekspo Produk Penjara Se-Borneo 2026 oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas penglibatan dan sokongan mereka dalam menjayakan ekspo berkenaan.

Tetamu kehormat majlis seterusnya mengadakan lawatan ke reruai pameran dan jualan, yang menampilkan pelbagai hasil tangan, produk perusahaan serta karya kreatif daripada institusi penjara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan penjara-penjara Borneo.

Penganjuran  Ekspo  Penjara  Se-Borneo  2026  merupakan  salah  satu  platform  yang disediakan bagi mengetengahkan hasil kreativiti dan kemahiran para penghuni yang diperoleh menerusi pelbagai program pemulihan, latihan vokasional dan pembangunan kemahiran yang dilaksanakan di institusi penjara.

Ekspo berkenaan menampilkan pelbagai hasil tangan, produk perusahaan dan karya kreatif yang dihasilkan oleh institusi penjara di NBD dan Borneo, termasuk Penjara Pusat Limbang dan Penjara Pusat Miri serta Lembaga Pemasyarakatan Kalimantan, Republik Indonesia.

Sepanjang  tiga  hari  berlangsung,  orang  ramai  berpeluang  mengunjungi  pelbagai pameran dan demonstrasi, di samping mendapatkan produk-produk hasil tangan yang dihasilkan oleh para penghuni.

Antara produk yang dipamerkan dan ditawarkan termasuk perabot, hasil kerja kayu, kraf tangan, kaligrafi,  ukiran,  hiasan  rumah,  cenderamata, produk jahitan, bakul dan hasil anyaman serta pelbagai perusahaan makanan.

Selain pameran dan jualan produk hasil perusahaan penghuni penjara, ekspo berkenaan turut menampilkan penyertaan pengusaha dalam kalangan Rakan Seliaan (RS) serta pengusaha di bawah  Satu  Kampung  Satu  Produk  (1K1P)  yang  mempamerkan  dan  memasarkan pelbagai  produk  keluaran  tempatan. 

Penyertaan  berkenaan bukan  sahaja  mempelbagaikan pilihan produk yang ditawarkan kepada para pengunjung, malah turut membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk memperkenalkan, mempromosi dan memperluas pasaran hasil perusahaan masing-masing kepada orang ramai.

Kepelbagaian  produk  yang  diketengahkan  bukan  sahaja  memperlihatkan  bakat dan kreativiti para  penghuni,  malah mencerminkan  kemahiran  praktikal  yang  telah dibangunkan melalui latihan dan program pemulihan yang berterusan.

Produk-produk berkenaan turut ditawarkan pada harga yang berpatutan, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan barangan yang mempunyai nilai seni, kegunaan dan keunikan tersendiri.

Selain menjadi platform jualan dan pameran, ekspo berkenaan turut membawa mesej penting mengenai usaha pemulihan dan reintegrasi sosial para penghuni penjara. Hasil karya yang dipamerkan mencerminkan usaha, kesungguhan dan kemahiran yang dibangunkan oleh para penghuni sebagai persediaan untuk membina kehidupan yang lebih produktif selepas menjalani tempoh hukuman.

Sokongan  orang  ramai  melalui  pembelian  produk-produk  berkenaan  bukan  sahaja menghargai usaha dan hasil kerja para penghuni, malah turut memberikan dorongan dan motivasi kepada mereka untuk terus mengembangkan potensi serta kemahiran yang dimiliki.

Sokongan berkenaan turut mendukung usaha Jabatan Penjara dalam menyediakan peluang pembelajaran,  pembangunan  kemahiran  dan  latihan  vokasional  sebagai persediaan para  penghuni  untuk  menjalani  kehidupan  yang  lebih  produktif selepas pembebasan.

Penyertaan institusi penjara dari Borneo turut menjadikan ekspo berkenaan sebagai platform bagi mengetengahkan  kepelbagaian  hasil  perusahaan  serta  menggalakkan  perkongsian, pengalaman  dan  amalan  dalam  bidang  pemulihan,  pembangunan  kemahiran  dan reintegrasi penghuni dalam kalangan institusi penjara serantau.     

Secara keseluruhannya, penganjuran Ekspo Produk Penjara Se-Borneo 2026 diharap dapat  meningkatkan lagi kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan program  pemulihan  serta  pembangunan kemahiran yang dilaksanakan oleh institusi penjara.

Ekspo berkenaan juga diharap dapat terus memperkukuh hubungan kerjasama antara institusi penjara serantau, khususnya dalam perkongsian pengalaman, pengetahuan dan amalan terbaik berkaitan pemulihan  serta  pembangunan  kemahiran  penghuni. 

Pada masa yang sama, sokongan dan penglibatan masyarakat juga diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan Jabatan Penjara dalam membantu para penghuni menjalankan proses pemulihan dan seterusnya  kembali  berperanan  sebagai  anggota masyarakat yang produktif dan bertanggungjawab.