Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
TANAH JAMBU, Rabu, 25 November. - Seramai 39 pegawai tempatan dan antarabangsa telah berjaya menamatkan Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Ke-16, Tahun 2026 dalam Majlis Penutup yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB (AP ABDB), Tanah Jambu, di sini.
Kursus yang bermula pada 12 Januari 2026 ini disertai oleh 20 pegawai ABDB, seorang pegawai Kementerian Pertahanan, seorang pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) serta 17 pegawai tentera antarabangsa yang mewakili 13 buah negara.
Dengan penyertaan keseluruhan daripada 14 buah negara termasuk Negara Brunei Darussalam (NBD), kursus ini menjadi platform bagi pertukaran pengetahuan, pengalaman dan pandangan profesional, di samping memperkukuh persefahaman serta kerjasama pertahanan antara negara-negara yang mengambil bahagian.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, yang menyempurnakan majlis penutup serta menyampaikan sijil kepada para graduan kursus.
Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan ABDB, Pesuruhjaya Polis PPDB, Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi, Penasihat-Penasihat dan Atase-Atase Pertahanan, pengarah-pengarah, komandan-komandan, wakil Universiti Brunei Darussalam (UBD), serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Sebanyak empat anugerah pengiktirafan telah disampaikan kepada peserta kursus yang menunjukkan pencapaian cemerlang serta sumbangan yang membanggakan sepanjang mengikuti program tersebut.
Anugerah Overall Excellence dan Anugerah Kecemerlangan Akademik UBD (UBD Academic Excellence Award) telah dianugerahkan kepada Major Akshaj Chandel, Indian Army.
Sementara itu, Anugerah Kepujian ABDB (RBAF Commendation Award) telah disampaikan kepada Leftenan Komander Abu Qusyairi bin Haji Yacob, Tentera Laut Diraja Brunei, Markas Angkatan Bersama ABDB dan Anugerah Komandan telah diberikan kepada Mejar (U) Adieb bin Abd. Rahman, Tentera Udara Diraja Brunei.
Kursus Maktab Turus ABDB Ke-16 terus memperkukuh penambahbaikan akademik dan profesional yang telah diperkenalkan pada tahun sebelumnya, khususnya melalui kerjasama strategik bersama UBD dan pembangunan program Sarjana Pengajian Pertahanan dan Keselamatan (Master of Defence and Security Studies, MDSS).
Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan AP ABDB dalam mempertingkatkan mutu pendidikan ketenteraan profesional dengan menggabungkan kecemerlangan akademik dan kepakaran ketenteraan secara praktikal bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berkeupayaan menangani cabaran pertahanan dan keselamatan semasa.
Sepanjang kursus tersebut, para peserta telah mengikuti program pembelajaran yang komprehensif bagi memperkukuh kemahiran pemikiran kritis, analisis strategik, perancangan operasi, kepimpinan beretika dan komunikasi berkesan.
Kurikulum tersebut merangkumi bidang-bidang utama pendidikan profesional ketenteraan, termasuk Strategi, Dasar dan Doktrin; Pemerintahan, Kepimpinan dan Pengurusan; Peperangan Bersama serta Keupayaan Ketenteraan.
Selain pembelajaran akademik, kursus ini turut menyediakan pelbagai peluang kepada para peserta untuk terlibat dalam pertukaran pengetahuan dan pengalaman profesional, pembelajaran secara kolaboratif, lawatan sambil belajar di dalam dan di luar negara serta aktiviti sosial.
Penglibatan tersebut telah menyumbang kepada peningkatan persefahaman bersama, pengukuhan jaringan profesional dan pembentukan hubungan persahabatan yang berkekalan dalam kalangan pegawai tentera daripada pelbagai negara dan perkhidmatan.
Sejak penubuhannya pada tahun 2010, Kursus Maktab Turus AP ABDB telah berjaya melahirkan seramai 519 orang graduan, termasuk 232 orang pegawai tentera antarabangsa.
Pencapaian ini mencerminkan sumbangan berterusan kursus tersebut dalam memperkasa pendidikan ketenteraan profesional serta memperkukuh hubungan pertahanan dan kerjasama erat antara negara-negara yang mengambil bahagian.