Sumbangan tingkatkan kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan mulut, gigi

26 Nov 2026 - 9:46am

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 November. - Buat julung kalinya Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) menerima sumbangan berupa perkhidmatan profesional iaitu Perkhidmatan Kesedaran, Saringan dan Rawatan Kesihatan Mulut Komuniti (Community Oral Health Awareness, Screening And Treatment Initiative) pada majlis yang berlangsung pagi tadi di Dewan Serbaguna, Kompleks YSHHB, di sini. 

Sumbangan tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mulut dan gigi daripada kalangan anak-anak yatim yang berdaftar di Sekretariat DANA, khususnya anak-anak yatim daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Sumbangan perkhidmatan tersebut disumbangkan oleh Dentistree Clinic Brunei. 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA.

Sumbangan perkhidmatan daripada Dentistree Clinic Brunei disampaikan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini bin Pengiran Dr. Haji Mohd. Yakub selaku pemilik klinik berkenaan.

Inisiatif kebajikan tersebut bertujuan untuk memperluas akses anak-anak yatim yang kurang berkemampuan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan pergigian yang berkualiti, di samping meningkatkan kesedaran dan memupuk amalan penjagaan kebersihan mulut dan gigi yang baik sejak usia muda.

Melalui pemeriksaan yang dijalankan, tahap kesihatan pergigian anak yatim akan dinilai bagi mengenal pasti masalah serta keperluan rawatan yang bersesuaian.

Hasil penilaian tersebut akan menjadi asas dalam menentukan langkah pencegahan, rawatan lanjut dan pemantauan susulan bagi memastikan kesihatan pergigian anak-anak yatim sentiasa diberikan perhatian secara berterusan.

Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat, merangkumi sesi pendidikan dan kesedaran awal mengenai kesihatan mulut, pemeriksaan pergigian, rawatan pencegahan serta rawatan susulan yang bersesuaian berdasarkan keperluan setiap anak yatim.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat berkenaan mencerminkan komitmen dan keprihatinan Dentistree Clinic Brunei dalam menyokong usaha kebajikan dan kesejahteraan anak-anak yatim, khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan pergigian.

Sokongan ini diharap dapat memberikan manfaat yang berterusan kepada anak-anak yatim di samping memupuk amalan penjagaan kesihatan mulut dan gigi yang baik serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan pergigian sebagai sebahagian daripada kesejahteraan diri secara menyeluruh.

DANA sangat menghargai sokongan dan derma daripada para dermawan bagi sama-sama membantu DANA dalam usahanya untuk mempertingkatkan kesejahteraan hidup anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam. YSHHB ialah sekretariat bagi DANA.