Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Hernie Suliana Haji Othman
BELAIT, Khamis, 16 Julai. - Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata kepada Anak-anak Damit yang Lahir pada 15 Julai 2026 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026 telah diadakan bertempat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Daerah Brunei dan Muara serta Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait, pagi tadi.
Pada tahun ini, seramai 22 anak damit telah dilahirkan pada 15 Julai 2026, yang mana lima anak damit telah dilahirkan di HSSB.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di HSSB ialah isteri Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Datin Zubaidah binti Haji Mahmud.
Pada majlis tersebut, tetamu kehormat telah menyampaikan cenderamata berupa potret kenangan ibu bapa bersama anak damit dan hadiah hamper keperluan anak damit dan ibu, sumbangan Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026.
Turut disampaikan ialah sumbangan daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) berupa hamper barangan keperluan anak damit bernilai BND60 serta wang tunai berjumlah BND200 yang dikreditkan ke dalam Akaun SiManja.
Selain itu, Insurans Islam TAIB Holdings Sendirian Berhad berserta anak-anak syarikatnya turut menyumbangkan Pelan Takaful Siswa bernilai BND240 bagi tempoh setahun.
Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) turut menyumbangkan pembukaan akaun simpanan bank dengan deposit permulaan bernilai BND250 kepada setiap anak damit yang dilahirkan pada 15 Julai 2026.