Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Oktober. - Penutupan Naubat selama 14 hari sejak 6 Oktober lalu berikutan kemangkatan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam kini sempurna dibuka semula.
Majlis Istiadat Membuka Naubat berlangsung di Lapau di ibu negara, di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong selaku Kepala Majlis.
Majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, yang juga membacakan Doa Tahlil.
Manakala bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dikepalai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar. Sejurus memasuki waktu Maghrib, azan dikumandangkan oleh Begawan Mudim Awang Haji Amran bin Haji Md. Salleh.
Majlis kemudian disusuli dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim.
Mengadap dan menyembahkan kepada Kepala Majlis bagi memulakan dan kemudiannya untuk menutup majlis, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad bin Haji Daud.
Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah mangkat pada Selasa, 24 Rabiulakhir 1448 Hijrah bersamaan 6 Oktober 2026 Masihi, pukul 5.43 petang pada usia 74 tahun.
Al-Marhumah YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah merupakan adinda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Al-Marhumah YTM telah berkahwin dengan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien pada 9 Julai 1970 dan dikurniakan dengan 10 orang anak.
Juga berangkat pada istiadat tersebut ialah anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah iaitu Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali.
Berangkat dan hadir pada majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis-majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Manteri, Manteri-manteri Hulubalang dan Manteri-manteri Pedalaman dan para jemputan khas.