5 buku baharu terbitan DBP dilancarkan

17 Jul 2026 - 8:43am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

 

BERAKAS, Khamis, 16 Julai. - Sebanyak lima judul buku baharu telah dilancarkan dalam Majlis Pelancaran Buku Terbaharu Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada majlis berlangsung di Pentas Utama Pesta Buku Brunei 2026, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini, pagi tadi.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, selaku tetamu kehormat.

Tetamu kehormat turut menyempurnakan penyampaian buku terbaharu serta dokumen perjanjian kepada para penulis sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam memperkaya khazanah penerbitan negara.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Allah Peliharakan Sultan, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah, dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Seterusnya, para hadirin menyertai Sesi Baca Buku Selama 10 Minit sebelum majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Perancangan Buku, DBP, Pengiran Hajah Rosenani binti Pengiran Haji Halus.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video bertajuk ‘Warisan Lanang Laut Penanjong’, yang memaparkan gambaran kandungan daripada salah sebuah buku yang dilancarkan pada majlis tersebut.

Turut hadir, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, serta ketua-ketua kampung dari beberapa mukim di Daerah Tutong.

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan DBP dalam memperkaya penerbitan tempatan, memartabatkan bahasa dan sastera Melayu serta mendokumentasikan warisan, sejarah dan budaya negara untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.